Wednesday, December 30, 2015

Fenomena 'Ahmad Maslan' perlu pembetulan segera: Presiden Isma


Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin


BANGI, Rabu
– Para menteri kelihatan sering mengeluarkan kenyataan memalukan hanya kerana terpaksa mencipta jawapan tidak bijak bagi mempertahankan dasar-dasar dan tingkah laku kerajaan yang salah.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, mereka akan terus dilihat ‘bodoh’ dengan kenyataan ‘menghiburkan rakyat’ seakan-akan ia berterusan berlaku pada setiap hari.

“Fenomena ini akan berterusan jika kerajaan terus berdegil tidak mahu membetulkan dasar dan tingkah laku yang salah. Akibatnya menteri terpaksa mencipta jawapan-jawapan tak bijak,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan mengenai dua kerja yang disambut ‘meriah’ oleh rakyat khususnya pengguna laman sosial.

Ustaz Abdullah berkata, fenomena ‘Ahmad Maslan’ berlaku bukan kerana masalah kemampuan otak atau kelemahan daya intelektual di kalangan menteri.

“Saya percaya mereka semua bijak dan pintar tetapi kerana terpaksa melindungi dan memikirkan alasan yang tidak logik untuk merasionalkan satu-satu dasar dan tingkah laku kerajaan yang tidak betul.

“Fenomena ini memang memerlukan pembetulan segera kerana ia akan membentuk imej yang amat buruk dan memahat imej yang tidak selari dengan kemampuan dan kredibiliti menteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-