Thursday, December 24, 2015

Hamidah perlu bayar dan hormati keputusan mahkamah, kata Khalid

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata bekas ketua wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman mesti menghormati perintah mahkamah dan membayar ganti rugi seperti diperintahkan terhadapnya. Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Disember, 2015.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang dianugerahkan RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos kerana difitnah Datuk Hamidah Osman hari ini berkata bekas ketua wanita Umno Gopeng itu mesti menghormati perintah mahkamah.

"Peguam saya sudah menulis surat kepadanya dan peguamnya beberapa kali meminta dia membayar wang itu tetapi tidak ada sebarang respons," kata Khalid ketika ditanya sama ada beliau serius dalam menguatkuasakan penghakiman itu.

Ini kerana, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 April lalu itu membuktikan kewajaran Khalid selepas mendapati bekas pemimpin Wanita Umno Perak itu bertanggungjawab atas tindakannya.

Peguam yang biasa dengan kes saman fitnah berkata, ahli politik biasanya memfailkan saman fitnah itu terutama untuk "memberitahu dunia" yang mahkamah sudah menghukum defendan dengan mencemar reputasi mereka.

Khalid berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan pegawai mahkamah menyita barangan kepunyaan Hamidah kerana wanita itu enggan membayar pampasan ganti rugi selepas kalah dalam kes itu.

Rabu lalu, bailif mahkamah menyita barangan di rumahnya di Kampung Tersusun Jalan Gopeng, Batu Gajah, Perak.

Hari ini, bekas exco kerajaan negeri Perak itu berkata beliau tidak berpuas hati dengan cara bekas peguam beliau mengendalikan saman fitnah itu.

Khalid berkata, Hamidah menghubunginya semalam dan hari ini tetapi beliau hanya meminta bekas ahli Umno itu untuk menghormati perintah mahkamah.

Bekas ahli PAS yang kini menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, seingatnya Hamidah tidak menunjukkan sebarang penyesalan ketika diminta memohon maaf selepas penerbitan artikel yang bertajuk "Umat Islam Perlu Bersatu" dalam blognya pada sekitar Januari 2010, yang memuatkan gambar superimposed Khalid berpakaian ala seorang paderi.

"Beliau malah membuang buktinya yang menyebabkan Mahkamah Tinggi itu menolak saman saya," katanya.

Khalid berkata beliau tiada pilihan selain mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin menguatkuasakan penghakiman itu kerana tidak ada jawapan daripada Hamidah atau peguamnya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada April mengarahkan Hamidah membayar pengarah komunikasi Amanah itu RM150,000 sebagai ganti rugi.

Mahkamah itu pada mulanya menolak saman Khalid tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu pada Disember 2013.

Mahkamah Rayuan juga mengarahkan Hamidah membayar Khalid RM50,000 sebagai kos.

Penilaian ke atas ganti rugi itu dibuat Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Firdaus Sidqi Shahril Azli.

Khalid menyaman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat dan ketua penerangan Wanita Umno itu pada 23 Disember, 2011 berhubung posting di blognya itu.

Bulan lalu, Hamidah dipecat daripada parti itu kerana didakwa menggesa peletakan jawatan presiden parti Datuk Seri Najib Razak kerana skandal 1Malaysia Development Berhad dan wang RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun bank peribadinya.

Hamidah juga menjemput bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pengkritik lantang Najib, menghadiri satu sesi dialog di Ipoh pada bulan September. – 24 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hamidah-perlu-bayar-dan-hormat-keputusan-mahkamah-kata-khalid#sthash.8kXmlBZ1.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-