Saturday, December 26, 2015

Hanya pendakwa raya boleh dedah hasil siasatan, kata bekas peguam negara

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Tan Sri Abu Talib Othman berkata peguam negara perlu menyatakan sebab jika memutuskan tidak membuat pendakwaan bagi sesuatu siasatan walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah memberikan cadangan. Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Disember, 2015.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mengumumkan hasil siasatannya ke atas SRC International Sdn Bhd dan derma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak, kata seorang bekas peguam negara.

Agensi anti rasuah itu juga tidak boleh mendedahkan kepada umum cadangan yang dibuatnya kepada pihak pendakwa kerana ia adalah rahsia, kata Tan Sri Abu Talib Othman.

"Hanya peguam negara yang perlu menyatakan sebabnya jika beliau memutuskan untuk tidak mendakwa walaupun SPRM sudah memberikan cadangan," katanya yang berkhidmat sebagai peguam negara sejak 1980 hingga 1993.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang beliau sedar rakyat menaruh harapan tinggi untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua kes itu.

Abu Kassim berkata, SPRM akan terus menyiasat kes itu tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Kita akan menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status mereka. Saya harap mesej tersebut sampai kepada masyarakat dan itu kita pegang sehingga ke hari ini," beliau dipetik berkata Sinar Harian dalam satu wawancara khas yang disiarkan akhbar itu semalam.

Abu Talib yang menjadi peguam negara selama 13 tahun itu berkata, biasanya agensi penyiasatan seperti SPRM akan mengesyorkan sama ada pertuduhan perlu dibuat terhadap mana-mana pihak.

"Ini prosedurnya dan mereka dikehendaki menyediakan draf kertas pertuduhan untuk pertimbangan pendakwa raya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, orang ramai boleh tahu melalui prosiding mahkamah jika tertuduh didakwa dengan kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, beliau berkata pendakwa raya yang juga bertindak sebagai peguam negara tidak dikehendaki mengikut saranan disyorkan agensi penyiasatan seperti SPRM.

"Peguam negara/pendakwa raya tidak tertakluk kepada cadangan SPRM. Ia terpulang sepenuhnya kepada kebijaksanaannya kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau budi bicara mutlak.

"Bagaimanapun, beliau dikehendaki membuat keputusan bijaksana mengikut undang-undang dan berdasarkan bukti," katanya.

Abu Talib berkata, beliau berpandangan dalam kedua-dua kes tersebut, pendakwa raya (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) mesti bertanggungjawab kepada rakyat jika pendakwaan tidak dibuat terhadap mana-mana pihak.

"Kedua-dua kes ini berkepentingan awam dan beliau bertanggungjawab menjelaskannya jika memutuskan untuk tidak mendakwa," katanya.

Najib berkata, wang RM2.6 bilion itu adalah derma daripada penyumbang Arab dan semua urusan dibuat mengikut cara sewajarnya.

Perdana menteri juga menafikan wang itu datangnya daripada mana-mana kumpulan wang awam atau mempunyai sebarang kaitan dengan firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Laporan setakat ini mendedahkan, sejumlah RM42 juta lagi daripada SRC, syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan, turut berakhir di akaun Najib.

Laporan Wall Street Journal pada Julai mendakwa, penyiasat kerajaan menemui wang itu susulan siasatan yang dilakukan ke atas syarikat sarat hutang 1MDB itu. – 26 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hanya-pendakwa-raya-boleh-dedah-hasil-siasatan-kata-bekas-peguam-negara#sthash.fUOEP55S.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-