Sunday, December 20, 2015

Kerjasama Umno-PAS: Permainan politik jangka pendek - Tok Him

Ibrahim tidak percaya Umno dan kepimpinan akan menyokong pelaksanaan hukum hudud yang dibawakan PAS. - Foto arkib TRP/ Syahirah Roslan
KUALA LUMPUR, 19 Disember:

“Saya yakin tiada kerjasama politik antara Umno dan PAS. Ini adalah permainan politik jangka pendek,” kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar 2015 di ibu negara, Khamis lalu.

Ibrahim berkata, kerjasama itu tidak akan terjalin, kerana Umno merupakan tulang belakang Barisan Nasional yang mempunyai parti komponen MCA dan Gerakan yang membantah pelaksanaan hukum hudud.

Tambahnya, Presiden PAS juga perlu mendapatkan persetujuan daripada pucuk pimpinan parti, berbanding Umno yang hanya menyokong apa sahaja tindakan pucuk pimpinannya.

“Saya tidak percaya Umno dan kepimpinan akan menyokong hudud yang dibawa PAS.

“PAS juga sudah nyata dan jelas dasarnya dengan perjuangan Islam, termasuk hudud yang mesti disokong Umno,” katanya pada Persidangan Khas Tahunan Wira Perkasa Malaysia 2015, di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS dilihat sedang menguji keikhlasan Umno, manakala Najib memerlukan sokongan PAS dalam menghadapi krisis kepimpinan dalam parti itu.

Ibrahim berpendapat, jika berlaku, kerjasama politik antara kedua-dua parti itu hanya akan terjalin selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), apabila PAS menjadi penentu kepada kerajaan yang mentadbir negara mengikut kerusi dimenanginya.

“Kerjasama politik mungkin akan berlaku selepas PRU14, apabila semua parti tidak mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, maka BN atau Umno akan bina kerjasama dengan PAS untuk mentadbir negara,” katanya.

Menurutnya, kerjasama yang boleh terjalin dalam kedua-dua parti itu adalah kerjasama sesama umat Islam ke arah jalinan ukhwah Islamiah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/19/kerjasama-umno-pas-permainan-politik-jangka-pendek-tok-him/#ixzz3umUnuJ38

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-