Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, December 7, 2015

Khalwat tidak boleh dianggap jenayah - G25

Noor Farida mendakwa tiada negara Islam lain yang mempunyai undang-undang khalwat. Foto TRP/ Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 6 Disember:

Kumpulan pesara kerajaan Melayu berorientasi sederhana G25 mendakwa `dosa peribadi’ seseorang itu tidak sepatutnya dihukum oleh negeri.

Jurucakapnya, Datuk Noor Farida Arif, berkata dosa seseorang seperti khalwat tidak sepatutnya dihukum oleh pihak berkuasa negeri.

“Itu dosa peribadi. Dosanya dengan tuhan. Antara orang itu dengan tuhan.

“Mengapa harus dijadikannya sebagai satu jenayah?

“Islam kata kita tidak boleh kacau ruang peribadi,” katanya pada sidang media selepas Forum G25 Mengenai Islam Dalam Demokrasi Berperlembagaan.

Beliau berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengenakan hukuman terhadap kesalahan khalwat.

“Tiada negara Islam lain yang mempunyai undang-undang khalwat.

“Ini bertentangan dengan Islam. Kamu tidak boleh mengetuk pintu rumah orang pada jam 3 pagi dan menangkap mereka.”

Noor Farida berkata, undang-undang syariah lain akan turut dikaji tetapi hanya akan dipilih kemudian.

“Terma rujukan akan dilihat di setiap lapisan.

“Mana-mana yang mengganggu Perlembagaan Persekutuan akan dikaji semula.”

Beliau berkata, mereka yang bukan Islam akan turut terkesan dengan undang-undang syariah.

“Jika kita kaji semula mengenai perebutan jenazah dan hak penjagaan kanak-kanak apabila pasangan menukar agama memasuki Islam, ketidakadilan seperti ini yang kita mahu elakkan.”

Noor Farida berkata, Islam adalah agama yang adil, penuh rahmat dan belas kasihan.

“Cara Islam dilaksanakan di bawah Undang-Undang Syariah mengakibatkan banyak ketidakadilan kepada orang Islam dan bukan Islam.

“Kerana itu, ramai mengatakan Islam dirampas oleh pihak berkuasa negeri.”

Noor Farida berkata, objektif utama forum itu adalah untuk mengkaji Undang-Undang Syariah dan sempadannya selain penubuhan Jawatankuasa Perundingan Pakar bagi menasihatkan kerajaan untuk memudahkan pindaan kepada undang-undang syariah negeri.

Beliau berkata, pindaan itu haruslah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Ahli G25 yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Sheriff Kassim, berkata Jawatankuasa Perundingan harus dimulakan oleh G25 tetapi kemudian akan dilampirkan kepada kerajaan.

“Ia tidak boleh dilakukan oleh G25 sendirian tetapi perlu diletakkan di bawah payung organisasi negeri,” katanya pada sidang media.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/uncategorized/2015/12/06/khalwat-tidak-boleh-dianggap-jenayah-g25/#ixzz3tYY4N96E