Saturday, December 19, 2015

Komponen BN khuatir bab agama, sambut baik Umno-Pas bergabung

Komponen Barisan Nasional menyambut baik usaha penyatuan Umno dan Pas, namun khuatir mengenai kedudukan agama-agama lain yang ada di Malaysia.

KUALA LUMPUR, 19 Disember:
Komponen Barisan Nasional menyambut baik usaha penyatuan Umno dan Pas, namun khuatir mengenai kedudukan agama-agama lain yang ada di Malaysia.

Menurut Pengerusi Biro Keharmonian MCA, Datuk Ti Lian Ker, parti itu memandang positif usaha yang dijalankan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dengan berpandangan ianya baik untuk merapatkan jurang perbezaan yang ada.

Katanya, usaha yang dijalankan itu harus mengambil kira segala kepentingan rakyat tanpa membuli mana-mana pihak.

“Jika ianya untuk kebaikan seluruh rakyat seharusnya tidak menjadi masalah, cuma kalau ada isu-isu yang memecah belahkan kaum dalam landasan keagamaan, kita perlu ada tolak ansur dan juga kena berhati-hati.

“Elakkan perkara yang boleh menimbulkan perpecahan, elakkan juga timbul persepsi buli…bila dah sama-sama kuat, itu bukan lesen untuk kita buli pihak lain,” katanya kepada The Rakyat Post.

Menurut Lian Ker, dalam apa juga keadaan sekali pun, asas kepada gabungan mahupun kerjasama itu harus kukuh dan tidak dilupakan.

Jelasnya, isu hudud seperti yang diinginkan Pas tidak akan menjadi masalah sekiranya kedua-dua parti Melayu gergasi itu bergabung, namun setiap aspek harus diambil kira dan pelaksanaanya haruslah dengan berhemah.

“Tidak timbul isu Umno tidak sokong hudud, cuma masa dasar dan pelaksanaannya harus diperhalusi. Jangan tergopoh gapah. Rakyat sendiri masih berbelah bagi dalam isu ini.

“Belum sampai masa lagi (untuk bergabung Umno dan Pas), kita ingatkan sahaja. Kerjasama dengan siapa-siapa pun jangan ada niat buruk, jangan ada niat nak membuli, memaksa dengan menggunakan kuasa.

“Kalau matlamat baik, ikhlas dan hasrat baik untuk rakyat, saya rasa memang tiada masalah,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Naib Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Datuk Dr Makin @ Marcus Majigoh, penyatuan dua parti ini haruslah menepati dasar-dasar sedia ada yang ada di dalam BN.

Beliau berpandangan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah cukup bijak dan baik untuk menilai kerjasama politik ini untuk memenuhi dasar-dasar BN.

“Kita ada peraturan-peraturan yang kita harus patuhi, dan komponen lain juga seharusnya bersetuju. Bila Hadi kata dia nak bekerjasama dengan kita, kami alu-alukan namun ianya tertakluk kepada peraturan yang diamalkan selama ini.

“Sebab dalam amalan BN, BN tidak meninggalkan kepentingan agama-agama lain. Ada ruang-ruang tertentu untuk memajukan Islam dan dalam masa yang sama tidak mengecilkan agama yang lain.

“Jadi dalam hal pelaksanaan hudud, ianya harus mendapat sokongan daripada rakyat jelata khususnya mereka yang bukan beragama Islam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Putatan itu lagi.

Malah katanya, buat masa ini, cukup sekadar dengan adanya Mahkamah Syariah yang menguruskan hal-hal berkaitan agama Islam sebelum melaksanakan hudud.

“Maksud saya, nak laksanakan hudud ini bukan mudah, banyak perkara kena ambil kira, semua sudut kita kena teliti,” katanya.

Turut berkata dalam nada yang sama ialah Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Wilson Ugak Kumbong yang mana gabungan di antara Umno dan Pas adalah satu perkara yang dialu-alukan.

Jelasnya, ianya tidak dilihat sebagai satu masalah jika gabungan itu dibentuk untuk kebaikan rakyat.

“Tetapi di Sarawak, kami ada berbilang agama, jika ia dilakukan untuk kebaikan, tidak ada salahnya. Gabungan harus dijalankan secara baik, tidak mementingkan untuk satu agama sahaja,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.

Ini kerana, Umno merupakan tulang belakang kerajaan sedia ada manakala Pas juga dilihat sebagai sebuah parti yang berjaya mentadbir Kelantan.

“Kena ambil kira perbezaan agama supaya dapat diselaraskan dengan baik. Pada saya memang tiada masalah, dan usaha Najib sebagai Presiden Umno dilihat sebagai seorang pemimpin yang ‘moderate’,” kata Ahli Parlimen Hulu Rajang itu ketika diminta mengulas berkenaan kerjasama Umno dan Pas.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/19/komponen-bn-khuatir-bab-agama-sambut-baik-umno-pas-bergabung/#ixzz3ujIwfPTY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-