Sunday, December 20, 2015

Kuasa dan kedudukan Najib masih kukuh

FMT Reporters
December 20, 2015

Pengguguran Muhyiddin, ketidakmampuan Tun M menjatuhkan Najib dan rasionalisasi hutang 1MDB menjadikan beliau kekal berkuasa.
PETALING JAYA:
 Kuasa dan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kukuh dan ini dibuktikan dengan sokongan padu yang diterima beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 baru-baru ini.

“Dengan itu kita juga mengesahkan bahawa Najib akan kekal berkuasa dan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu pada 2018.

“Antara lain yang turut memperlihatkan bahawa Perdana Menteri itu masih mempunyai kawalan penuh adalah menerusi pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri selain tidak membenarkan Timbalan Presiden parti itu berucap pada perhimpunan berkenaan berikutan tindakan beliau mempersoalkan Najib,” lapor Utusan Malaysia.

Akhbar itu memetik laporan analisis sebuah firma penyelidikan bebas antarabangsa, Financial Times (FT) Confidential Research.

Menurut analisis berkenaan, kedudukan Najib juga dilihat masih kukuh apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini berjaya menurunkan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009 turut gagal berbuat demikian terhadap Perdana Menteri walaupun dengan pengaruh politiknya.

“Meskipun Najib masih menghadapi tentangan dalaman di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor yang ada kumpulan pro-Muhyiddin, namun kumpulan anti-Najib itu semakin lemah dan telah kehabisan pilihan.

“UMNO akan mengadakan pemilihan parti pada pertengahan 2018 dan kita melihat tiada kemungkinan bahawa Najib akan digulingkan,” kata laporan analisis itu.

Menerusi analisis tersebut, antara faktor lain yang turut mempengaruhi kedudukan dan kuasa Najib adalah melalui penyusutan isu dan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Salah satu faktor adalah menerusi resolusi krisis hutang 1MDB dan Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Arul Kanda Kandasamy juga telah memaklumkan bahawa masalah dana itu dapat diselesaikan melalui dua transaksi.

“Pertama melalui penjualan aset tenaga 1MDB iaitu Edra Global Energy Bhd. (Edra) kepada General Nuclear Power Corporation (CGN Group) bernilai RM9.8 bilion secara tunai selain mengambil alih hutang sebanyak RM7.4 bilion.

“Kedua, pemindahan hutang sebanyak RM16 bilion kepada dana Pelaburan Antarabangsa Petroleum Abu Dhabi sekali gus mengurangkan hutan 1MDB menjadi RM19 bilion daripada RM42 bilion,” kata laporan analisis itu seperti dilaporkan akhbar UMNO itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-