Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, December 13, 2015

Masalah Umno belum selesai dengan salam perdamaian Najib-Muhyiddin

OLEH THE MALAYSIAN INSIDER
Published: 13 December 2015 9:00 AM
Kepimpinan tertinggi Umno yang dilihat berdamai semalam di Perhimpunan Agung parti dikatakan belum dapat menyelesaikan masalah dengan sepenuhnya.Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Disember, 2015.

Perhimpunan Agung Umno semalam berakhir dengan gemilang bagi presiden parti Datuk Seri Najib Razak, di mana delegasi bangun dan bertepuk setuju semasa beliau menyampaikan ucapan penggulungannya dengan laungan tidak akan menyerah diri.

Selepas berbulan Umno berdepan masalah dalaman, Najib menawarkan salam perdamaian kepada salah seorang pengkritik utamanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang diserang selama tiga hari daripada perwakilan parti.

Namun di sebalik senyuman delegasi di hadapan kamera, terdapat kebimbangan parti Melayu terbesar dan tertua dalam negara itu masih jauh perjalanannya untuk dipulihkan.

Mereka yang ditemui The Malaysian Insider bercakap tentang keperluan kepimpinan parti untuk bersatu padu, tetapi isu yang menyebabkan keretakan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Ketua Cawangan Pasir Panjang Ramli Aziz berkata, harapan paling utama delegasi dalam perhimpunan tahun ini ialah dua pemimpin utama dapat berdamai supaya parti boleh kuat dan bersatu sekali lagi.

Ramli berkata, salam perdamaian di atas pentas semalam tidak begitu berkesan kerana Muhyiddin tidak kelihatan begitu ikhlas.

"Apabila Muhyiddin bersalaman dengan Najib, ia tidak kelihatan ikhlas. Selalunya Muhyiddin akan menemani Najib dan kedua mereka akan meninggalkan perhimpunan itu," kata Ramli.

"Namun kali ini Muhyiddin antara yang pertama untuk meninggalkan acara dan pergi berasingan daripada yang lain. Najib ikhlas tetapi timbalannya tidak."

Delegasi Sabah Datuk Kamarlin Ombi juga turut tidak gembira dengan respons penentang Najib, mengatakan Umno tidak boleh menyelesaikan masalahnya sekiranya pihak lain enggan bekerjasama.

Kamarlin berkata beliau hanya mahukan kepimpinan bersatu padu, dan menggesa "sesetengah pihak" supaya muhasabah diri.

"Najib sudah jelaskan yang beliau sanggup berbincang, untuk menyelesaikan konflik ini. Saya fikir jika beliau seorang sahaja yang bercakap sementara pihak lain tidak bekerjasama, ia takkan diselesaikan," kata Kamarlin.

Terdapat kebenaran dengan kata-kata Kamarlin, kerana sebaik selepas berjabat tangan dengan Najib, Muhyiddin memberitahu media beliau masih mahu tahu apakah langkah yang ingin diambil untuk menyelesaikan masalah dibangkitkannya, berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.

Delegasi Teluk Kemang Junaina Abu Kassim berkata, beliau percaya ia akan ambil masa untuk parti berdamai, dan kedua-dua pihak perlu memahami satu sama lain untuk mengaku salah mereka.

Enggan memihak kepada sesiapa, Junaina berkata semua pemimpin perlu berani menegur dan menerima teguran.

Sementara itu, Rushdan Mohamed, seorang ahli Umno Sepang tidak berpuas hati dengan peristiwa atas pentas itu serta ucapan penggulungan Najib.

"Mana boleh selesai dengan bersalam dan berpelukan. Siapa yang hendak bersalam dengan rakyat dan pengundi? Mudah betul baginya.

"Ucapannya tidak lagi berkisar tentang denyut nadi rakyat, hanya berkisar survival diri," kata Rushdan.

Beliau mengadu parti tidak berlaku adil dalam menghukum ahli, dan menggesa presiden supaya membawa Umno kembali kepada asas perjuangan terdahulunya.

Seorang ahli dari Perlis yang mahu dikenali sebagai Syirah, turut tidak puas hati dengan ucapan presiden.

"Ia terlalu pendek. Presiden berkata kita tidak perlu bimbangkan perjanjian TPPA (Perkongsian Trans-Pasifik) tetapi saya masih bimbang. Saya faham hanya sedikit tetapi perlukan lebih maklumat," katanya.

Bagaimanapun Syirah menyokong apa-apa keputusan yang dibuat presiden.

"Saya menyertai Umno sudah 20 tahun. Kami sokong parti. Ini tentang Melayu," katanya.

Namun Sapari, ahli dari Pontian, Johor, dan Che Hassan Che Johan ahli Umno Seputeh berpuas hati dengan ucapan ringkas Najib.

Sapari yang menjadi ahli Umno selama 40 tahun berkata, pertengkaran antara pemimpin harus berhenti kerana ia akan menjejaskan peluang memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Laungannya untuk perpaduan dan silaturrahim antara kepimpinan dan ahli datang tepat pada masanya kerana kita perlu bekerja keras dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Che Hassan memuji ucapan itu sebagai permulaan yang baik untuk barisan kepimpinan Umno, dan melihat salam perdamaian di antara Najib dan Muhyiddin sebagai tanda saling memaafkan.

Beliau juga kelihatan percaya dengan apa yang dikatakan Najib mengenai serangan terhadapnya adalah tidak berasas.

"Tak nak lagi suara sumbang cuba pecah-belahkan pemimpin Umno lagi. Saya harap apa yang berlaku hari ini jadi realiti positif. Kita dapat lihat perpaduan sudah kembali. Kita harus pertahankannya.

"Hari ini pemimpin tunjukkan mereka matang dalam politik," kata Che Hassan.

Namun Ketua Umno Kemaman Fikri Ibrahim percaya perdamaian tersebut tidak berhasil, tetapi menambah beliau tidak menganggapnya sebagai satu masalah.

"Pandangan saya ialah, mungkin ada sebab mengapa isu-isu ini ditimbulkan, kerana ia dibincangkan secara terbuka.

"Sepatutnya terdapat lebih banyak penjelasan mengenai isu tersebut kepada kita." – 13 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/masalah-umno-belum-selesai-dengan-salam-perdamaian-najib-muhyiddin#sthash.o4ObpFqA.dpuf