Wednesday, December 16, 2015

Masalah Umno lebih daripada hubungan Najib-Muhyiddin, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masalah yang dihadapi Umno lebih serius daripada sengketa antara presiden dan timbalannya. Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Disember, 2015.

Ada pihak yang tidak faham sama sekali isu yang dihadapi Umno, merasakan ia hanya mengenai masalah perhubungan antara presiden Datuk Seri Najib Razak dan timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, hakikatnya ia bukan masalah perhubungan atau persahabatan, tetapi mengenai salahlaku presiden yang boleh menyebabkan parti itu kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan bagi parti ialah sama ada presiden menjelaskan di mana duit yang hilang berada dan dikembalikannya kepada Umno atau kerajaan, atau presiden letak jawatan," kata Dr Mahathir merujuk kepada wang sumbangan RM2.6 bilion yang dideposit ke dalam akaun peribadi Najib.

"Tetapi presiden pilih untuk menghalang siasatan terhadap kehilangan berbilion ringgit duit kerajaan.

"Menggantinya dengan siasatan oleh orang yang tidak dipercayai masyarakat tidak akan menghilangkan keraguan rakyat."

Dr Mahathir berkata, dakwaan Najib yang beliau akan "bermati-matian memimpin perjuangan yang mulia bagi membela orang Melayu dan Bumiputera" juga tidak dapat diterima kerana Najib menghapuskan Dasar Ekonomi Baru dan menekan kontraktor Melayu sehingga mereka terpaksa gulung tikar.

Malah, katanya, biasiswa bagi penuntut Melayu juga turut dikurangkan.

"Semua ini lebih mengecewakan orang Melayu, ahli Umno, sehingga mereka bersorak apabila Najib diminta letak jawatan.

"Jika Najib letak jawatan ia akan disambut baik, dan barulah benar ia seorang 'gentleman' yang berjiwa besar," tulis Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc. – 16 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/masalah-umno-lebih-daripada-hubungan-najib-muhyiddin-kata-dr-mahathir#sthash.S9QsB9tA.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-