Monday, December 14, 2015

Mat Sabu dakwa Umno guna sentimen kaum, agama untuk menang PRU14

OLEH MELATI A. JALIL
Bercakap pada pelancaran Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang rakyat terpaksa memilih antara Umno atau ‘DAP yang anti Islam’ menunjukkan sentimen perkauman akan digunakan secara meluas.Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 13 Disember, 2015.

Sentimen kaum dan agama akan digunakan secara meluas pada pilihan raya umum akan datang, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Bercakap pada pelancaran Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang rakyat terpaksa memilih antara Umno atau "DAP yang anti Islam" menunjukkan sentimen perkauman akan digunakan secara meluas.

"Inilah mukadimah awal ke arah pilihan raya akan datang iaitu semangat perkauman dan keagamaan akan dimainkan sehebat-hebatnya," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad turut merujuk kepada ucapan perwakilan Pulau Pinang pada perhimpunan Agung Umno 2015 yang berlangsung baru-baru ini.

"Dalam perhimpunan agung katanya jangan tanya mana presiden dapat duit, dari mana jangan tanya siapa yang beri, yang penting kita dapat duit untuk bergerak. Asalkan boleh bantu Melayu," kata Mohamad yang membidas kenyataan perwakilan Umno mempertahankan derma RM2.6 bilion dimasukkan akaun peribadi perdana menteri.

"Ini ucapan racun, fahaman Asabiyah ialah fahaman yang paling celaka. Pemikiran itu dimunculkan semula," katanya.

Mohamad berkata pandangan Asabiyah itu mudah digunakan kerana ia melibatkan emosi.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Perwakilan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai berkata semasa perhimpunan parti itu baru-baru ini ahli tidak perlu mempersoalkan sumber dana RM 2.6 bilion.

Mohamad turut mengkritik Najib dengan berkata presiden Umno itu mungkin sudah mendapat seorang penulis dengan latar belakang agama untuk menulis ucapan penggulungan beliau pada perhimpunan parti.

"Dalam ucapan penutupnya seolah-olah ada orang dari parti tertentu yang buat ucapannya. Bahasa 'tahaluf siyasi', 'wala' saya rasa saya biasa dengar ucapan ni,"katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mat-sabu-dakwa-umno-guna-sentimen-kaum-agama-untuk-menang-pru14#sthash.eb0sSJxX.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-