Sunday, December 13, 2015

Mohamed Azmin Ali : Bertekad Tegakkan Syiar Islam, Kukuhkan Hak Rakyat

by ARIANNA

UCAPAN DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI BERSEMPENA ISTIADAT PENGANUGERAHAN/PENGURNIAAN DARJAH DAN BINTANG KEBESARAN NEGERI SELANGOR DI ISTANA ALAM SHAH, KLANG, SELANGOR.

Menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,

Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.

Ampun Tuanku beribu–ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun.

Mewakili rakyat Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik menyusun jari sepuluh, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih atas Tuanku bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-70 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Rakyat Tuanku bergembira dan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Tuanku dipanjangkan usia untuk terus bersemayam di atas takhta Negeri Selangor Darul Ehsan.

Terbang di laut di hujung karang,
Burung nasar terbang ke Bandan;
Dari dahulu sampai sekarang,
Banyak raja sudah ku pandang.

Burung nasar terbang ke Bandan,
Bulunya jatuh ke Patani;
Banyak raja sudah ku pandang,
Mana nak sama Tuanku ku ini.

Patik merafak sembah, memohon perkenan Tuanku untuk membuka kalam dengan mengambil iktibar dari pesanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bersabda: “Tuntutlah ilmu hingga ke Negeri Cina.” Sayugia patik sunting permata hikmah daripada Kung Fu Tze yang terkandung dalam kitabnya berjudul Lun Yu. Sang Maha Guru menceritakan perjalanan hidupnya. Inilah madah beliau :

Tatkala aku berumur 15 tahun, hatiku terpaut untuk tekun belajar;
Ketika aku berumur 30 tahun, pendirianku teguh;
Pabila aku berumur 40 tahun, aku tidak mempunyai keragu-raguan;
Sewaktu aku berumur 50 tahun, aku mengetahui ketentuan takdir;
Dikala aku berumur 60 tahun, telingaku patuh mendengar;
Sampai aku berumur 70 tahun, aku boleh mengikuti rasa hatiku, tanpa melanggari sempadan kebenaran.

Ampun Tuanku,

Hampir sepurnama yang lalu, Tuanku memasuki tahun ke-15 bersemayam di atas takhta kerajaan Selangor, Negeri Bertuah, Darul Ehsan. Hari beredar, bulan meninggalkan bulan, tahun melangkah tahun, Selangor bertambah maju dan semakin makmur di bawah naungan Tuanku. Tahun ke-15 sungguhlah indah, laksana malam bulan mengambang.

Bulang kuning kapal paduka,
Rambulan penuh belayarlah ia;
Sudah patik menimbang kira,
Tuanku di takhta negerikan jaya.

Demikian pula patik sedar, cabaran semakin getir. Patik bertanggungjawab memastikan negeri Tuanku janganlah kaku, leka mendendangkan kejayaan semalam dan sekarang. Patik mahu negeri Tuanku terus memecut ke depan, bersaing dengan negeri dan negara yang lebih maju di rantau ini.

Justeru, di tahun ke-15 pemerintahan Tuanku, patik melakar gagasan Smart Selangor sebagai visi negeri untuk tempoh 3 tahun. Peta perjalanan negeri akan membawa Selangor menuju sebuah negeri maju dengan menjamin keadilan untuk rakyat.

Patik berkelana ke Jepun dan ke Korea Selatan mencari idea, menelusuri jejak bandar raya dan negara yang berjaya, meneliti pusat penyelidikan dan inovasi untuk memajukan lagi negeri.

Pembangunan Selangor akan diseimbangkan dengan kemekaran seni budaya dan warisan dengan pembangunan muzium dan galeri untuk pencinta dan aficionado seni seperti Tuanku. Patik juga tidak lupa peri pentingnya sukan bolasepak yang merupakan sukan rakyat dan kegemaran Tuanku yang berupaya untuk menyatupadukan umat yang rencam.

Patik berdebar-debar pagi ini bukan kerana diminta menyembah ucapan taat setia tetapi patik dapat merasai debaran Tuanku menantikan saat kemenangan di perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Ampun Tuanku,

Patik sedar dan insaf akan kepayahan rakyat Tuanku akibat ekonomi negara yang gawat dan amalan rasuah yang membarah dalam sistem. Makanya, prinsip kebertanggungjawaban dan keadilan sosial akan menjadi teras pembangunan Selangor.

Atas kesedaran ini, Dewan Negeri Selangor meluluskan program bantuan makanan asas untuk golongan termiskin dan mengecualikan pembayaran fi lesen untuk peniaga kecil dan penjaja bagi 2016. Cukai taksiran bagi rumah kampung tradisi dan rumah kos rendah juga dikecualikan. Perkhidmatan bas percuma Smart Selangor mendapat sambutan meriah daripada rakyat Tuanku.

Anggota perkhidmatan awam memerah keringat demi negeri; siang dan malam, banjir dan jerebu, untuk meningkatkan hasil. Walhasil, pendapatan negeri Tuanku yang sebelum ini diunjurkan sejumlah RM1.97 bilion bagi 2015, melonjak ke RM2.4 bilion.

Selangor maju dan akan terus subur dan mengambang kerana laut politik tidak berombak. Meskipun resam demokrasi membenarkan pertukaran kerajaan yang mentadbir, namun rakyat bersyukur peralihan kuasa mengikut iradat rakyat berlaku secara teratur dan aman. Kestabilan terus kekal kerana perubahan dipayungi institusi Raja-raja Melayu.

Sementara tajdid dan islah umat terus berkembang, kesetiaan rakyat kepada raja dan negara kekal utuh seperti yang termasyhur dalam Rukun Negara. Institusi Raja Berperlembagaan, ibarat pembentung yang membulatkan muafakat rakyat, memayungi Selangor untuk kekal selamat, adil, maju dan makmur.

Ampun Tuanku, patik mohon keizinan dan kasih Tuanku untuk meluruskan khilaf faham, peri kedudukan Raja Berperlembagaan.

Khilaf pertama, memperikan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu tiada apa-apa peranan kecuali hanya sebagai lambang kepada Islam dan semata-mata “rubber stamp” kepada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Konon kata mereka, kuasa raja hanya saki-baki, laksana hampas daripada kuasa budi bicara, terbatas kepada pelantikan perdana menteri atau menteri besar sahaja.

Mentera demokrasi diulang sebut, kononnya hanya pemimpin yang terbit dari peti undi memiliki kuasa melakar nasib dan masa depan bangsa dan negara.

Pandangan ini adalah batil. Sejak masa mutakhir, terbitnya pencerahan yang bertambah tentang kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu. Pandangan rakyat menegaskan Raja-raja Melayu punya peranan yang cergas dan dinamik untuk melindungi Perlembagaan dan rakyat.

Pertama, dan terutamanya, Raja-raja Melayu adalah kubu terakhir untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan. Raja-raja Melayu berperanan penting dalam perkara yang berkaitan urus tadbir negara, menimbang tara undang-undang yang diluluskan dan menjaga batas sempadan kuasa eksekutif.

Rakyat maklum raja-raja mereka yang bijaksana tidak mencampuri urusan pentadbiran harian. Ini bukanlah persoalannya. Namun, apabila saat ketika berlaku di mana semangat Perlembagaan tercemar, tatkala terlulus undang-undang yang menginjak-injak kedaulatan Raja-raja Melayu dan rakyat, Majlis Raja-raja secara jama’i mahunya berikhtiar bertindak sebijaksana demi kedaulatan undang-undang dan kemakmuran negara.

Pandangan yang mengatakan Raja tidak boleh berbuat apa-apa, adalah terbit dari akal keliru yang memberi kuasa mutlak tanpa sempadan kepada rakyat. Kita hanya perlu belajar daripada sejarah, apabila tangan yang berkuasa berpindah ke tangan yang lain kononnya atas nama “kuasa rakyat”, apa yang berlaku bukanlah perpindahan kuasa kepada rakyat keseluruhannya tetapi pemusatan kuasa di tangan seorang manusia.

Saksikan sejarah Timur Tengah, dalam tahun 1950-an dan 60-an yang lalu, sistem beraja digantikan dengan kuasa yang kononnya mewakili rakyat. Malangnya, si pengganti menjadi pemerintah kuku besi, zalim dan diktator kerana mabuk menghirup kuasa. Mereka alpa yang kuasa hanyalah amanah buat digunakan dengan adil dan saksama untuk rakyat dan bukannya untuk melampiaskan nafsu mereka.

Sesungguhnya kita harus mengambil iktibar daripada firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, Ayat 26 :

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ‌ۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٢٦

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Ampun Tuanku,

Demokrasi menjadi lumpuh apabila perlembagaan dicabuli. Peranan institusi kehakiman menjadi lebih penting. Institusi kehakiman merupakan satu dari tiga sendi kerajaan dalam doktrin pemisahan kuasa. Izinkan patik nukilkan kata-kata bijaksana Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah yang tersohor :

“..The Judges are independent of all – the Executive, Parliament and from within themselves – and are free to act in an independent and unbiased manner. No member of the Government, no Member of Parliament, and no official of any Government department has any right whatever to direct or influence the decision of any of the judges. It is the sure knowledge of this that gives the public confidence in the judges. The judges are not beholden politically to any government…”

Ampun Tuanku,

Rakyat jelata berbangga dengan sejarah gemilang Kesultanan Selangor. Tuanku mempunyai leluhur yang hebat, berani lagi bijaksana. Kesultanan Selangor adalah keturunan Daeng Chelak, Yang DiPertuan Muda Riau

Kedua, yang namanya harum seantero alam Melayu sebagai pahlawan dan negarawan.

Dalam salasilah tertera nama Raja Haji, seorang pahlawan berani yang syahid dalam perang untuk mengusir penjajah Belanda dari Melaka, maka digelar Almarhum Syahid Fisabilillah.

Raja Haji mempunyai cucu, pendeta agung alam Melayu, Raja Ali Haji. Sebagai pengarang Tuhfat al-Nafis, sekumpulan puisi dan penyusun kamus bahasa Melayu yang pertama, Raja Ali Haji sesungguhnya adalah tokoh Asian Renaissance.

Kerana beliau meninggal di Pulau Penyengat dalam wilayah Indonesia, Raja Ali Haji dinobatkan sebagai Pahlawan Nasional oleh negara jiran.

Makanya, dalam darah dan nadi Kesultanan Selangor, mengalir dan bertembung 2 lautan, lautan kepahlawanan dan lautan kependetaan. Keberanian dan kebijaksanaan dalam institusi kesultanan, memang amat diperlukan oleh rakyat yang bernaung di bawah payung kebesaran Raja-raja Melayu.

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, ke mana mengalirnya lautan ini, kalau tidak kepada Kesultanan Selangor.

Memintal tali belati,
Pangkal punca kuat ikatnya;
Bersulam dengan hati,
Akal bestari tinggi tempatnya.

Dalam institusi Raja-raja Melayu, sesuai dengan tradisi kepahlawanan dan kependetaan leluhur, Duli Yang Maha Mulia Tuanku menampilkan kepimpinan moral dan intelektual, dalam menyatakan pendirian Raja-raja Melayu tentang derita dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat serta maruah negara yang terpalit akibat daripada skandal kewangan dan urus tadbir yang curang.

Patik dan rakyat jelata, amat terkesan dengan pendirian tegas yang dimasyhurkan oleh Majlis Raja-raja Melayu pada 6 Oktober 2015. Ia laksana suluhan yang menerangi kegelapan, anjuran moral dan suara hati nurani yang terpancar dari mata air kesetiaan rakyat. Rakyat tersentuh dengan kepedulian Raja-raja mereka tentang soal demokrasi, nilai dan urus tadbir.

Lantaran itu, rakyat tidak lagi berbisik-bisik, bermadah di belakang tabir dengan kiasan dan isyarat. Suara mereka jelas dan lantang. Amat jelas, rakyat menuntut tajdid dan islah secara aman mengikut lunas-lunas perlembagaan dengan bernaung di bawah payung kedaulatan Raja-raja Melayu.

Bergelang bulat bimasakti,
Sinar sampai ke hujung kota;
Rakyat jelata bersatu hati,
Teguh di bawah payung mahkota.
Dari puncak Mahameru,
Asal benih bangsa Jawi;
Selama ada Raja Melayu,
Daulatnya demi ibu pertiwi.

Ampun Tuanku,

Patik bertekad untuk menyemarakkan syiar Islam, mengupayakan orang Melayu tanpa menafikan hak orang lain serta memperkukuhkan hak rakyat jelata tanpa mereka perlu menagih bantuan atau derma.

Akhirulkalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaannya.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, dan seterusnya kepada puteri–puteri dan adinda–adinda Tuanku, waris–waris serta kerabat DiRaja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Daulat Tuanku. – 12 Disember, 2015.

KLIK BACA: BIODATA MENARIK DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI

SELANGOR

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-