Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, December 12, 2015

Muhyiddin tak akan mohon maaf kerana kritik Najib

OLEH MD IZWAN

Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan tindakannya mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan bertegas tidak akan memohon maaf. Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 12 Disember, 2015.
Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan memohon maaf kerana tindakannya mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak adalah untuk menegakkan kebenaran.

Muhyiddin mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam yang mengatakan beliau bersama seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal masih berkesempatan untuk meminta maaf kepada Najib.

Timbalan presiden Umno itu berkata tidak mempunyai sebab untuk memohon maaf kerana apa yang dibangkitkan adalah soal kepentingan parti dan kepimpinan.

"Sebenarnya saya tidak lihat ada sebab munasabah yang perlukan saya memohon maaf kerana apa yang saya sebutkan bukan soal peribadi.

"Apa yang saya bangkitkan selama ini soal parti dan soal kepimpinan," kata Muhyiddin pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin mempertahankan tindakannya yang berterusan menegur dan mengkritik kepimpinan Najib sebagai tidak salah kerana semangat cintakan Umno dan untuk melihat parti itu terus relevan.

"Saya tidak fikir menyalahi atau pun selari dengan tujuan perjuangan kita iaitu nak menyatakan sesuatu yang benar kerana saya amat cintakan kepada Umno dan saya mahu Umno terus kekal, diyakini dan dipercayai rakyat," katanya.

Disebabkan itu, Muhyiddin berkata tidak ada keperluan beliau meminta maaf kepada mana-mana pihak pada perhimpunan yang masuk ke penghujungnya selepas 4 hari bersidang.

"Sebab itu bagi saya, tidak ada sebab berpatutan memerlukan saya memohon maaf kepada sesiapa dan saya harap ini tidak disalah tafsir," katanya. – 12 Disember, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muhyiddin-tak-akan-mohon-maaf-kerana-kritik-najib#sthash.Oz0pfmia.dpuf