Thursday, December 10, 2015

Mungkinkah kiambang kembali bertaut selepas AGM Umno?

Apakah gesaan sayap-sayap dalam Umno supaya kepimpinan tertinggi parti itu kembali bersatu demi memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap parti itu, akan mendapat sambutan pihak-pihak yang bertelingkah?

Pergerakan Wanita Umno senada meminta presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden parti itu agar bersatu kembali sebagai satu pasukan.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meluahkan harapannya agar Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dapat 'duduk berbincang' dengan kepimpinan tertinggi Umno bagi menyelesaikan segala kemelut dalam parti.

Pemuda Umno juga sebulat suara menyeru kepimpinan tertinggi parti kembali bersatu demi memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda merayu agar pucuk pimpinan parti dapat mencari titik pertemuan untuk menyelesaikan sedikit keretakan di peringkat atasan Umno.

Begitulah doa dan harapan mereka menjelang perhimpunan agung Umno yang akan dirasmikan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Abdul Razak pagi ini.

Harapan mereka ialah untuk melihat barisan kepimpinan tertinggi parti terbesar orang Melayu itu kembali bertaut apabila perhimpunan agung itu berakhir Sabtu ini.

Perkara itu dijangka dibangkitkan oleh perwakilan apabila membahaskan isu-isu yang menyentuh tentang kepimpinan dan perpaduan dalam Umno.

Bernama memetik Khairy berharap semangat kebersamaan itu dapat dilihat pada perhimpunan agung parti induk itu yang berlangsung hari ini, esok dan lusa.

"...dan saya harap dalam tempoh ini, semua dapat bermuhasabah dan buat pendirian untuk bersama dalam Umno," katanya.

Khairy berkata perwakilan Pemuda juga dilihat sangat berhemah apabila memberi sokongan penuh kepada setiap pemimpin parti yang meninjau sesi perhimpunan sayap itu semalam.

Kesemua kepimpinan tinggi Umno hadir meninjau perjalanan persidangan itu, termasuk Najib, Muhyiddin dan ketiga-ketiga naib presiden - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie.

Shahrizat pula dipetik Bernama sebagai berkata Wanita Umno mahu penyatuan antara pemimpin tertinggi parti itu.

"Kami sayap-sayap bersatu, kenapa tidak kepimpinan tertinggi pun bersatu?

"Saya hendak minta sempena perhimpunan agung Umno biarlah kita akhiri dengan tindakan positif dan kembali semula (eratkan) silaturahim," katanya kepada pemberita selepas tamat perhimpunan agung pergerakan itu semalam.

Shahrizat percaya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai 'hati yang terbuka' untuk mengadakan perbincangan.

"Saya percaya Datuk Seri Najib berjiwa besar. Saya juga percaya kalau Tan Sri Muhyiddin dan Shafie dan lain-lain duduk bersama dan berunding dengan Najib dan Ahmad Zahid (Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bersama-sama Tun Mahathir dan lain-lain, saya percaya kita boleh rungkai kemelut yang ada pada hari ini. Itulah doa Wanita," katanya.

Mengenai isu jawatan dalam kabinet, Shahrizat berkata itu bukan menjadi persoalan utama, sebaliknya fokus semua anggota adalah bertugas dan berkhidmat untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ditanya sama ada beliau akan menemui Muhyiddin untuk mencadangkan sebarang perbincangan, beliau berkata: "Saya akan cuba sebab kita dilatih untuk sayangkan semua."

Sementara itu, Shahrizat mewakili 1.3 juta anggota pergerakan itu turut menyatakan pendirian untuk tidak menyokong mana-mana kumpulan serpihan wujud dalam parti.

Memberi gambaran sebuah kapal tidak boleh mempunyai lebih daripada seorang nakhoda, beliau berkata Wanita Umno akan terus berjuang dan setia dalam satu barisan bersama-sama perdana menteri.

"Kitalah yang sepatutnya jadi benteng utama kepada parti, bukannya kita keluar daripada kepompong politik dan bersama-sama dengan pembangkang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-