Thursday, December 3, 2015

Najib tidak akan jawab derma RM2.6 bilion di Parlimen hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan secara peribadi menjawab soalan di Parlimen hari ini berhubung derma RM2.6 bilion yang disalurkan terus ke akan banknya, kata sumber.Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Disember, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan secara peribadi menjawab soalan di Parlimen hari ini berhubung derma RM2.6 bilion yang disalurkan terus ke akaun banknya, kata sumber.

Sebaliknya sumber memberitahu The Malaysian Insider, tugasan itu dipercayai akan diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

The Wall Street Journal (WSJ) pada Julai melaporkan penyiasat Malaysia menjejaki jutaan dolar didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib selepas wujud pergerakan tunai di kalangan beberapa agensi, bank dan syarikat berkait dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selepas pendedahan WSJ, ramai yang mendesak perdana menteri memberikan penjelasan dari mana beliau memperoleh wang itu dan untuk apa wang itu digunakan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata wang dalam akaun Najib itu merupakan sumbangan penderma berasal dari Timur Tengah.

Perdana menteri sepatutnya menjawab soalan berkenaan di Parlimen hari ini, lebih 5 bulan selepas pendedahan WSJ, tetapi pengkritik berkata jika beliau hadir di Dewan Rakyat sekalipun, tidak akan ada masa mencukupi untuk semua soalan berjawab.

Azalina sebelum ini berkata isu itu akan dijawab pada sesi soal jawab tetapi semua sedia maklum peluang ahli Parlimen mendapatkan pencerahan daripada penjelasan yang diberikan amat nipis, memandangkan ini hari terakhir Dewan Rakyat bersidang.

“Jika perdana menteri menjawab hari ini, akan ada soalan yang berpanjangan. Adakah anda rasa ia lebih adil untuk kumpul semua soalan pada hari terakhir?” katanya dipetik sebagai berkata.

“Sama ada perdana menteri akan jawab atau sesiapa dalam Jabatan Perdana Menteri, ia masih prerogatif perdana menteri.”

Pengkritik utama Najib, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menolak dakwaan wang itu adalah derma dari Timur Tengah, dengan berkata ia “mengarut”.

“Orang Arab pemurah, tetapi tidak pemurah sebegitu. Saya tidak dapat walaupun sedolar daripada mereka untuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau Pusat Islam Oxford.

“Dakwaan orang Arab derma berbilion ringgit ialah apa yang orang kata sebagai angan dan mengarut. Sudah tentu saya tidak percaya dan begitu juga majoriti rakyat Malaysia jika kita lihat komen di media sosial. Kita diketawakan dunia,” kata Dr Mahathir di blognya.

Pengkritik lain ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tersingkir daripada Kabinet selepas beliau secara terbuka mempersoalkan Najib mengenai RM2.6 bilion itu.

Pada hari disingkirkan, Muhyiddin dilaporkan berkata dalam satu video bocor, Najib mengaku RM2.6 bilion itu dimasukkan ke dalam akaunnya.

Dalam video itu, Muhyiddin kelihatan memberitahu tetamu di rumahnya beliau berdepan dengan Najib mengenai laporan WSJ.

The Malaysian Insider awal hari ini melaporkan SPRM dijangka merakamkan keterangan Najib mengenai bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan derma RM2.6 bilion.

Perkembangan terbaru dalam siasatan itu berlaku selepas pegawai SPRM pada hujung minggu lalu, merakamkan keterangan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah SRC International Datuk Suboh Md Yassin.

SRC International merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Bulan lepas, dalam wawancara bersama The Malaysian Insider, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, beliau memberikan SPRM sehingga hujung tahun ini untuk mengambil keterangan Najib mengenai derma RM2.6 bilion diterimanya dan menambah, siasatan ke atas derma kontroversi itu juga perlu diselesaikan pada waktu sama. – 3 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-tidak-akan-jawab-derma-rm2.6-bilion-di-parlimen-hari-ini#sthash.sFiXyyHt.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-