Friday, December 4, 2015

NOW belum yakin integriti Yepeim pulih dengan peletakan jawatan

Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir berpendapat peletakan jawatan 2 pegawai tertinggi dalam anak-anak syarikat Yapeim ‘belum memulihkan moral dan integriti Yapeim’ kerana mereka masih lagi kekal dalam Lembaga Pemegang Amanah Yapeim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Disember, 2015.

Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir menyambut baik keputusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menerima peletakan jawatan 2 pegawai tertinggi dalam anak-anak syarikatnya susulan skandal perbelanjaan meragukan yayasan itu akhir-akhir ini.

Namun, Akmal berpendapat peletakan jawatan itu "belum memulihkan moral dan integriti Yapeim" kerana mereka yang meletak jawatan itu masih lagi kekal dalam Lembaga Pemegang Amanah Yapeim.

"NOW menyambut baik pengumuman Yapeim yang Datuk Awang Malek Awang Kechil iaitu presiden dan pemimpin Wanita Umno Kelantan Datuk Siti Zaleha Hussin iaitu timbalan presiden Lembaga Pemegang Amanah meletakkan jawatan mereka dalam semua anak syarikat Yapeim.

"Ismail Mat Nasib iaitu suami kepada Siti Zaleha juga melepaskan jawatan yang disandangnya sebagai felo Yapeim.

"Namun, status jawatan-jawatan yang disandang Wan Johan iaitu anak kepada Siti Zaleha yang dikatakan sebanyak 6 jawatan masih tidak dijelaskan," kata Akmal dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal turut menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan kedudukan kewangan Yapeim yang meragukan.

Katanya, dalam tempoh 3 tahun perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah meningkat sebanyak 7 kali ganda.

"Penyata kewangan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2013 menunjukkan jumlah perbelanjaan bagi perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah bagi 2012 sebanyak RM498,725 dan 2013 sebanyak RM665,316.

"Manakala penyata kewangan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2014 dan juga anggaran perbelanjaan bagi 2015 menunjukkan perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah bagi 2014 adalah RM2,617,264 dan 2015 dianggarkan sebanyak RM3,500,000," katanya.

Akmal juga menuntut Jamil menjelaskan istilah "panel" yang digunakan dalam belanja lembaga bagi 2013 dan 2014 serta pertambahan jawatan menyebabkan berlakunya peningkatan belanja tersebut.

"Mengapa elaun tetap/kehadiran bagi 2012 dan 2013 hanya sekitar RM300,000 tetapi bagi 2014 mengalami peningkatan sehingga RM1.76 juta dan 2015 dianggarkan memakan kos RM2.26 juta?

"Adakah benar elaun jamuan dan keraian yang dibelanjakan bagi 2013 hanya RM3,608 tetapi meningkat sebanyak 55 kali ganda kepada RM201,960 bagi peruntukan tahun 2015?" katanya.

NOW sebelum ini melakukan beberapa siri pendedahan melibatkan anak syarikat Yapeim yang didapati menaja penerbangan Jamil menggunakan wang daripada tabung anak yatim ke Amerika Syarikat pada 2014.

Pendedahan itu yang menggunakan salinan dokumen Yapeim diperakui sebagai dokumen yang benar namun Yapeim sekarang sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap Akmal atas dakwaan memperoleh dokumen tanpa kebenaran. – 4 Disember, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/now-belum-yakin-integriti-yapeim-pulih-dengan-peletakan-jawatan#sthash.ovmt46Hs.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-