Thursday, December 10, 2015

PAS arah pemimpin jangan keluar kenyataan komen pelawaan Najib

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan semua peringkat pimpinan parti tidak keluarkan kenyataan balas terhadap pelawaan kerjasama yang dibuat Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno ke-69 hari ini. Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Disember, 2015.

PAS mengarahkan semua pemimpinnya agar tidak membuat sebarang kenyataan berikutan ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mempelawa parti Islam itu bekerjasama hari ini.

Menurut satu kenyataan yang disebarkan di kalangan pemimpin PAS, semua pimpinan di peringkat dewan dan negeri diarahkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap pelawaan Najib yang dibuat dalam ucapan dasarnya pagi ini.

"Saya dihubungi Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan ucapan Najib pada hari ini.

"Hadi mengarahkan agar semua peringkat pimpinan di dewan dan negeri/Wilayah Persekutuan untuk tidak keluarkan kenyataan balas terhadap ucapan Najib pada hari ini.

"Tunggu kenyataan pimpinan tertinggi nanti," kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsury Mokhtar, dalam kenyataan itu.

Dua pemimpin PAS yang dihubungi, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Mustafa Ali juga enggan membuat sebarang kenyataan mengenai ucapan Najib itu.

Mereka berkata, presiden PAS akan membuat kenyataan itu.

Namun, bekas ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi bagi mendapatkan komennya menyifatkan kepada The Malaysian Insider, Najib sedang terdesak berusaha menyelamatkan dirinya apabila menghulurkan kerjasama dengan PAS.

Najib, yang juga perdana menteri dan pengerusi gabungan parti pemerintah Barisan Nasional, dalam ucapan dasarnya menyatakan Umno dengan hati terbuka menghulurkan tali silaturahim dan ikatan ukhuwah "menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatNya.

Katanya, Umno gembira apabila PAS kini tidak lagi bersama pembangkang dalam Pakatan Harapan.

PAS tidak menyertai Pakatan, yang ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur selepas perselisihan antara PAS dan bekas sekutunya, DAP.

Hadi yang konservatif sering dilihat memainkan isu bekerjasama dengan Umno demi umat Islam dan orang Melayu, walaupun pendirian rasminya ialah tidak menyertai parti itu yang merupakan musuh tradisi PAS dalam merebut undi Melayu-Islam.

Dua pemimpin kanan PAS, timbalan dan naib presidennya, tegas menolak kerjasama dengan Umno apabila diminta mengulas cadangan kerjasama yang dihulurkan Najib sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata, kerjasama dengan Umno tidak mungkin berlaku kerana sejak Umno ditubuhkan hingga kini, ia masih menjalankan penindasan dan kezaliman kepada ahli dan kepimpinan PAS.

Naib Presiden Datuk Iskandar Samad pula berkata, Umno terlalu banyak dosa untuk diterima akar umbi PAS. – 10 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-arah-pemimpin-jangan-keluar-kenyataan-komen-pelawaan-najib#sthash.7ymUIevg.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-