Tuesday, December 8, 2015

PAS nafi ada tanda mahu kerjasama dengan Umno

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya kekal dengan dasar Islam, yang bercanggah dengan dasar pragmatisme dan nasionalisme yang menjadi dasar perjuangan Umno. Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Disember, 2015.

PAS hari ini menafikan menunjukkan isyarat menggalakkan ke arah permuafakatan dan kerjasama antara parti itu dan Umno seperti didakwa Datuk Seri Najib Razak semalam.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya kekal dengan dasar Islam, yang bercanggah dengan dasar pragmatisme dan nasionalisme yang menjadi dasar perjuangan Umno.

"Tidak mungkin PAS akan bekerjasama dengan Umno yang sejak ditubuhkan sehingga kini masih menjalankan penindasan dan kezaliman terhadap ahli dan kepimpinan PAS.

"PAS tidak akan jadi penyelamat kebobrokan dalam Umno-Barisan Nasional (BN).

"Kenyataan Najib di saat kemelut yang melanda dalaman mereka sekarang hanyalah satu usaha mengalih isu sebenar yang sedang melanda perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim turut memberi contoh penindasan Umno di 2 negeri iaitu Kelantan dan Terengganu yang menurutnya dinafikan hak royalti minyak mereka.

"Kelantan terus ditekan sehingga hasil petroleum disedut, namun royalti yang ditandatangani terus dinafikan. Terengganu, di saat PAS menang, terus dinafikan hak royalti," katanya.

Malah, enakmen Jenayah syariah Kelantan yang dijanjikan akan disokong terus dinafikan dan sehingga kini tidak dapat dibentangkan di sidang Parlimen, katanya.

"Apakah PAS akan percaya di saat Umno tertekan mereka mencari PAS?" soalnya.

Najib dalam satu temu bual dengan sebuah stesen televisyen di Kuala Lumpur, malam tadi berkata, PAS menunjukkan tanda-tanda menggalakkan ke arah permuafakatan dengan Umno berdasarkan beberapa tindakan positifnya terhadap parti tunjang orang Melayu itu.

Antara contoh kecenderungan PAS untuk bekerjasama itu katanya, ialah tindakan PAS yang tidak menolak Rang Undang-undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat ketika ia ditolak pembangkang lain pada 16 November lalu.

"Dalam pengundian bajet mereka tidak menyokong langkah tolak bajet. Walaupun mereka tidak undi pihak kita, tetapi mereka tidak tolak bajet. Ini tanda-tanda yang saya anggap sebagai menggalakkan," katanya. – 8 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-nafi-ada-tanda-mahu-kerjasama-dengan-umno#sthash.DiL2xMF2.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-