Wednesday, December 23, 2015

'Pas tiada harapan menang di Sarawak'

Pas tidak mempunyai harapan untuk memenangi sebarang kerusi daripada 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang. - Foto TRP
KUALA LUMPUR, 22 Disember:
Pas tidak mempunyai harapan untuk memenangi sebarang kerusi daripada 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir berkata sekalipun Pas hampir menang di DUN Beting Maro pada PRN 2006 dahulu yang merupakan kawasan Melayu tetapi ia bukanlah menunjukkan kekuatan Pas hebat tetapi disebabkan faktor calon dan tempatan di situ.

Menurutnya, sekalipun jumlah kerusi yang ditandingi meningkat berbanding hanya lima DUN sebelum ini namun Pas sukar untuk menang kerana imejnya yang dilihat agak ekstrem terutamanya oleh pengundi di kawasan bukan Islam yang mana berpegang teguh kepada ajaran Kristian dan kepercayaan lama.

“Dalam kalangan pengundi Melayu-Melanau, Pas juga sukar diterima kerana mereka masih serasi dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang jadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak dan PBB dijangkakan menyapu bersih 35 hingga 40 kerusi ditandingi parti berkenaan.

“Pas hanya mempunyai sedikit harapan di kawasan Melayu-Melanau namun sekiranya PBB menyapu bersih kesemua kerusi di situ, bagaimana Pas akan memenangi sebarang kerusi yang mereka tandingi.

“Jadi sekiranya harapan di kawasan Melayu-Melanau sudah tipis, apatah lagi kawasan Bidayuh, Iban dan Orang Ulu yang mana saya melihat peluang Pas untuk menang tertutup terus,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad yang menyatakan parti Islam berkenaan akan bertanding di sekurang-kurangnya 11 kerusi DUN pada PRN Sarawak akan datang.

Jelasnya, jumlah tersebut merupakan penambahan enam kerusi, berbanding hanya lima kerusi yang telah dipertandingkan Pas pada PRN lalu.

Menurutnya, Pas telah mula bertanding di Sarawak sejak 1996 dan aktif di 11 kawasan, selain mempunyai lebih 2,000 aktivis yang bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya.

Tambah Jeniri lagi, Parti Amanah Negara (Amanah) juga tidak mempunyai sebarang peluang untuk menang pada PRN tersebut sekalipun kebanyakan pemimpinya adalah bekas tokoh Pas Sarawak.

Jelasnya, Amanah sebagai parti baru yang hendak bertapak di Sarawak memerlukan tempoh yang lama untuk mendapatkan sokongan dan ia bukan memakan masa sebulan dua.

“Cabaran di Sarawak lebih mencabar yang mana keluasannya sama seperti Semenanjung Malaysia dan mereka perlu ada sokongan akar umbi dengan kuat.

“Mereka masih lagi dilihat serpihan Pas dan PRN akan datang adalah pertembungan antara DAP dan BN di kawasan bandar dan luar bandar hampir disapu bersih oleh BN kecuali di satu dua kawasan,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/12/22/pas-tiada-harapan-menang-di-sarawak/#ixzz3v4CqkqA6

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-