Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, December 19, 2015

Pas, Umno seiringan: Sejarah mungkin berulang

Bernama 


Konsep politik sebagai the art of possibilities memungkinkan sejarah 40 tahun lalu berulang, iaitu kemasukan PAS ke dalam BN, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mahdzir Khalid.

Malah beliau berkata, kecenderungan ke arah itu dapat dilihat sekarang melalui pertemuan dua pemimpin utama parti itu melalui Multaqa Serantau Alumni al-Azhar Malaysia 2015 di Kuala Lumpur, Khamis lepas.

Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan.

"Anything can happen (apa pun boleh berlaku), politik memang macam itu, malah pada 1974 PAS masuk BN masa arwah Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri kedua).

"Kalau tengok apa berlaku hari ini, kecenderungan menuju ke situ, tapi tak tahu macam mana nak jadi," katanya.

"Dalam negara berbilang kaum, dalam pembentukan negara bangsa yang maju, perpaduan adalah nombor satu," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 230 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi, di Padang Terap hari ini.

DAP, kata beliau, dilihat sudah pasti akan 'panas punggung' dengan kerjasama baru Umno dan PAS, dan akan memberikan pelbagai alasan, jelas memperlihatkan penolakan parti itu kepada konsep perpaduan.

Malah menurutnya, DAP secara terang-terangan dilihat sudah tidak berminat untuk bekerjasama dengan PAS dan ia terbukti apabila PAS 'ditendang' keluar dari Pakatan Rakyat baru-baru ini di Pulau Pinang.

"Kemudian DAP tukar kepada Pakatan Harapan dan bawa Parti Amanah Negara (AMANAH) masuk dengan harapan AMANAH boleh ganti PAS, sebenarnya kita sudah nampak dari awal lagi DAP tidak berminat pada perpaduan," katanya.

Mengenai isu yuran, beliau berkata yuran pendidikan untuk sekolah menengah dan sekolah rendah yang telah dimansuhkan sejak 2012 adalah kekal sehingga kini.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak masuk campur mengenai yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru memandangkan ia tertakluk pada sekolah dan PIBG itu sendiri.

- Bernama