Monday, December 28, 2015

Pemimpin UMNO suka tayang kemewahan

PETALING JAYA: Pemimpin UMNO ditegur kerana mengamalkan gaya hidup mewah dan membelakangkan tuntutan Islam supaya setiap pemimpin mengamalkan kesederhanaan dan ‘low profile’.

Penceramah bebas dan pensyarah, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, rata-rata pemimpin UMNO hari ini suka menunjuk-nunjuk dengan berkereta mewah dan ‘beristeri mewah’ terutama mereka yang berkahwin dengan artis.

“Susah sangatkah menjadi low profile? Bukankah ini menjadi tuntutan dalam Islam. Jika nak himpun harta, himpunlah tetapi jangan menunjuk. Rakyat sudah muak,” tulisnya di akhbar Sinar Harian.

Ridhuan Tee berkata, berdasarkan pengalamannya yang banyak melawat rumah pemimpin UMNO, jarang sekali berjumpa rumah kecil.

Katanya, kebanyakkan pemimpin UMNO memiliki rumah mewah termasuk dalam kalangan pemimpin UMNO bahagian dan ahli keluarga terdekat mereka.

“Inikan pula yang berjawatan di peringkat negeri dan Pusat. Bukanlah mereka perlu tinggal dalam pondok kecil tetapi berpada-padalah,” katanya.

Katanya, segelintir pemimpin UMNO itu mempunyai tauke atau ‘funder’ yang dipermudahkan kerjanya untuk mendapat peluang bisnes, tanah, kontrak dan tender sehinggakan ada Tanah Rizab Melayu yang tergadai.

Beliau berkata, UMNO perlu berubah jika mahu meneruskan kerjasama dengan Pas terutamanya membanteras politik wang hingga akar umbi dan membersihkan imej parti.

Pas pula katanya, perlu menjadikan akhlak mulia dan keadilan sebagai tunjang utama.

“Jika menang peringkat negeri dan Pusat, Pas dan UMNO mesti raikan bersama (berkongsi) dan jangan sapu semua jawatan seperti yang berlaku di Pulau Pinang. Selain itu, keputusan dibuat perlu menang-menang supaya tidak ada yang ‘terduduk’ dan UMNO perlu mendidik parti komponennya supaya mesra Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-