Tuesday, December 8, 2015

Penderma mahu RM2.6 bilion masuk ke akaun saya, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sudah pun disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menemui penderma dana itu. Gambar fail Reuters, 7 Disember, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya bukan dari dana awam atau syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau berkata perkara itu sudah pun disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menemui penderma dana itu.

"Saya tidak melakukan sesuatu kesalahan dari segi undang-undang atau pun dari segi amalan, perkara ini sudah pun dijelaskan dalam dewan Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

"Penderma-penderma sudah pun disahkan dan sudah pun ditemui oleh SPRM dan SPRM sudah pun mendapatkan kenyataan-kenyataan daripada mereka," kata Najib dalam temu bual bersama stesen televisyen TV3.

Temubual itu dikendalikan oleh Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Bhd Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima Bhd Datuk Abdul Jalil Hamid; dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak.

Video temubual itu turut dimuatnaik di laman web www.newsplus.my/live-tv.

Ditanya mengapa dana itu dimasukkan ke akaun peribadinya, perdana menteri menjelaskan ia adalah kehendak penderma itu sendiri dan derma itu dilakukan secara peribadi.

Beliau berkata sewaktu akaun itu diwujudkan Bank Negara dimaklumkan.

"Jadi tidak ada niat sama sekali untuk menipu atau untuk melakukan sesuatu perkara sebab Bank Negara sudah pun dimaklumkan tentang kewujudan akaun ini.

"Tapi jangan salah ertikan, akaun itu atas nama saya tetapi tidaklah ibarat macam akaun peribadi kita sendiri. Dan saya yakin selepas siasatan berjalan sepenuhnya, kebenaran akan timbul pada kesudahannya," katanya.

SPRM hari ini mengesahkan pihaknya sudah menghantar pegawai ke Timur Tengah bagi mengadakan pertemuan dengan penderma dana RM2.6 bilion.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Peguam Negara sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan.

SPRM bagaimanapun tidak boleh mendedahkan hasil pertemuan itu kerana siasatan masih berjalan, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata suruhanjaya itu akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu dari semasa ke semasa. – Bernama, 7 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/derma-rm2.6-bilion-bukan-dari-dana-awam-1mdb-kata-najib#sthash.i6RGoqyK.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-