Friday, December 11, 2015

Pesanan Muhyiddin untuk Tengku Adnan

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian Oleh AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar tidak meminggirkan suara akar umbi meskipun mereka hanya dilihat kecil.

Menurutnya, Tengku Adnan perlu sedar bahawa suara akar umbi membawa suara sebenar dari bawah.

"Saya fikir, Tengku Adnan biasa tidak berpandangan jauh dan tidak prihatin masalah yang sebenar. Mungkin dalam khayalan dan tidak berpijak di Bumi nyata.

"Realitinya, jika dia sebagai manusia tahu apa yang di bawah itu, bukan sahaja cawangan Umno bahkan rakyat biasa di seluruh negara. Saya tak tahulah kalau dia duduk di mahligai tinggi dan tak tahu apa berlaku di akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal kenyataan Tengku Adnan berhubung dakwaan cawangan Umno yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur

[ARTIKEL BERKAITAN: Ada ahli duri dalam daging, kata Ku Nan]

Sebelum ini, Tengku Adnan dilaporkan mendedahkan wujud gerakan orang dalam mengumpulkan 300 cawangan untuk mendesak Najib meletakkan jawatan dan beliau yakin gerakan itu tidak akan menjejaskan parti.

Mengulas lanjut, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, apabila akar umbi bersuara, mungkin kerana mereka sudah tidak tahan melihat apa yang berlaku dalam parti.

"Realitinya, apabila ada suara-suara luar biasa daripada akar umbi, saya tidak mengambil remeh. Jangan pandang rendah. Bagaimana kalau ada gelombang nanti?

"Mereka duduk di bawah itu menjadi pemimpin akar umbi...Ketua cawangan atau ketua atau pengerusi pusat daerah mengundi yang jaga pilihanraya. Pastinya ahli-ahli di bawah itu, ahli Umno atau bukan. Yang sudah duduk bersama dia bertahun-tahun di kampung itu, di cawangan itu menceritakan tentang masalah mereka.

"Jadi, mereka ini tidak mahu berdiam diri, lebih-lebih lagi dia takut trend itu boleh membawa kekalahan kepada parti," katanya.

Katanya, cawangan-cawangan mula bersuara apabila melihat peringkat bahagian 'sunyi'.

"Saya tidak mahu meremehkan pandangan mereka, kita kena hormati. Ini lahir daripada kesedaran mereka sendiri, tidak ada diacuh oleh pihak-pihak lain. Apatah lagi ia tidak diusahakan oleh saya.

"Jangan salahkan, 'oh ini ada gerakan'...tidak. Ia bangkit sendiri. Ada juga selepas mereka ditemubual (media), mereka datang jumpa saya dan menjelaskan kepada saya. Saya kata tak apa, 'ini hak awak. Awak ahli Umno, awak berhak untuk bersuara'," katanya.

Tambahnya, "setiausaha agung mesti dengar apa yang ada di bawah. Jangan hanya 'dok'....(sanjung) yang atas. Turun bawah, dengar rintihan akar umbi, rasa gelisah, marah, benci."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-