Tuesday, December 8, 2015

Rakyat lebih marah Rosmah berbanding Najib - Hamidah Osman

Khairil Ashraf
 December 8, 2015

Jika orang mahu cerita keburukan, mengapa isteri menteri lain atau isteri Muhyiddin Yassin tidak menjadi sasaran?

KUALA LUMPUR : Kemarahan rakyat terhadap Datin Seri Rosmah Mansor lebih tinggi berbanding kemarahan rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman berkata, keadaan itu berlaku kerana banyak ‘cerita-cerita’ yang disebarkan tentang isteri Perdana Menteri.

Katanya, ‘cerita-cerita’ itu cepat dan mudah tersebar menerusi internet kerana rakyat kini hidup di dunia tanpa sempadan.

“Saya nak cakap terus-terang, sebenarnya kemarahan orang kepada Datin Seri Rosmah lebih daripada kemarahan orang kepada Datuk Seri Najib.

“Hari ini dunia tanpa sempadan. Orang dapat maklumat dengan begitu mudah. Dan terlalu banyak cerita-cerita mengenai beliau.

“Bagi saya kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Kalau orang nak cerita pasal keburukan, orang akan cerita pasal menteri-menteri lain, orang boleh cerita pasal isteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kenapa mereka itu tidak dijadikan sasaran? Semestinya ada sesuatu yang menyebabkan dia menjadi sasaran,” katanya dalam wawancara khas bersama FMT.

Hamidah membuat komen itu apabila ditanya sebagai wanita, adakah beliau merasakan Rosmah banyak membawa impak negatif kepada suaminya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Wanita UMNO takut bersuara

Dalam perkembangan lain, Hamidah yang dipecat ahli UMNO baru-baru ini berkata, Pergerakan Wanita UMNO mengetahui krisis yang membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Bagaimanapaun, beliau berkata, ahli sayap parti tidak berani untuk bersuara kerana bimbang mereka akan dipecat.

“Secara peribadinya, saya bercakap dengan mereka malah, bukan sahaja dengan wanita UMNO. Mereka nampak masalah ini dan tahu.

“Cuma mungkin tak berani, takut dipecat, takut dibuang…bila saya berdepan dengan Wanita UMNO dan saya bangkitkan perkara ini, mereka sendiri sedar..mereka sendiri tahu,” katanya.

Hamidah yang juga bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO berpendapat, pergerakan itu juga tidak dapat menjawab isu berkenaan.

“Perdana Menteri pun tak boleh jawab isu 1MDB, isu derma..Apa yang anda harapkan daripada mereka? Dan mereka sendiri menghadapi masalah nak jawab dengan rakyat di bawah.

“Itu yang saya cakap kalau tak uruskan isu 1MDB, derma, kita akan menghadapi masalah akan datang,” katanya yang dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-