Saturday, December 5, 2015

Selepas setuju tidak serang PAS, Husam bidas dokumen sulit dibocor

Datuk Husam Musa menafikan dakwaan Facebook pro-ulama PAS yang menuduh seorang kakitangan kerajaan Kelantan membocorkan maklumat kepadanya. Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Disember, 2015.

Walaupun dikatakan bersetuju tidak akan bercakap secara umum isu dalaman parti selepas pertemuan dengan Dewan Harian PAS baru-baru ini, Datuk Husam Musa menyerang lagi partinya dalam satu majlis di Kota Baru malam tadi.

Bekas naib presiden PAS itu dipercayai melakukannya susulan serangan terhadap beliau melalui akaun Facebook pendokong kumpulan pemimpin tertentu dalam PAS, El-Haraki.

Pada majlis pelancaran buku itu, Husam berkata ekoran surat yang diberikan beliau kepada Dewan Harian PAS Pusat dalam pertemuan mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini, seorang kakitangan pejabat menteri besar (MB) Kelantan diserang dengan pelbagai tuduhan.

Beliau mendakwa, kakitangan pejabat MB berkenaan dituduh memberi dokumen kepadanya sehingga membolehkan beliau membuat surat berkenaan kepada PAS Pusat.

Ekoran itu, Husam mempertikaikan bagaimana isi kandungan perbincangan yang dianggap sulit itu boleh dibocorkan kepada El-Haraki yang kemudiannya menyerang kakitangan pejabat MB itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu menegaskan, tidak ada pihak yang berjawatan dalam kerajaan PAS yang membekalkan sumber maklumat kepadanya.

Sebaliknya, katanya, sumber maklumat itu datang dari "jin yang turun kerana benci dengan hal-hal yang tidak menyenangkan berlaku di Kelantan".

Beliau mendesak MB Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, agar prihatin dengan serangan terhadap kakitangan pejabatnya itu.

"Pembelaan dan siasatan perlu dijalankan dengan penuh adil oleh pejabat MB Kelantan," kata Husam.

Bagaimanapun, The Malaysian Insider mendapati, status yang menyerang kakitangan pejabat MB Kelantan itu kini dibuang daripada akaun Facebook El-Haraki itu.

El-Haraki adalah antara laman Facebook yang membuat serangan besar-besaran terhadap sesetengah pimpinan PAS sehingga parti itu berpecah dengan sebahagian pemimpinnya membentuk Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebelum ini, The Malaysian Insider difahamkan, Husam bersetuju dengan permintaan Dewan Harian PAS tidak akan menyerang lagi kerajaan negeri dan parti itu dengan syarat beliau tidak diserang terlebih dahulu.

Dalam pertemuan dipengerusikan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Kuala Lumpur itu, Husam menyerahkan satu surat kepada pimpinan tertinggi PAS itu.

Pada majlis malam tadi, Husam berkata, beliau akan mendedahkan surat itu kepada umum jika tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap apa yang beliau bangkitkan. – 5 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selepas-setuju-tidak-serang-pas-husam-bidas-dokumen-sulit-dibocor#sthash.lpnLH6jv.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-