Sunday, December 27, 2015

SPRM sekali lagi nafi ada campur tangan kes SRC, RM2.6 bilion

Pasukan penyiasat kes SRC International Sdn Bhd dan wang RM2.6 bilion diberi panduan dan amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed sendiri supaya merekodkan syor berkenaan hasil siasatan itu dengan bebas, sama ada terdapat kes ataupun sebaliknya, kata Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin.Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Disember, 2015.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menafikan sebarang campur tangan dalam siasatannya terhadap SRC International Sdn Bhd dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, pasukan penyiasat kes itu diberi panduan dan amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed sendiri yang ia mesti merekodkan syor berkenaan hasil siasatan itu dengan bebas, sama ada terdapat kes ataupun sebaliknya.

"Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami mencadangkan pertuduhan dalam laporan kertas siasatan yang akan dikemukakan kepada peguam negara minggu depan.

"Begitu juga sebaliknya," kata Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dalam satu kenyataan hari ini.

"Pengurusan tertinggi SPRM berpendirian, perkara ini penting bagi memastikan semua pihak mengetahui yang SPRM mengambil segala tindakan secara profesional dan bebas," katanya.

Bahri berkata demikian mengulas kenyataan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin yang bimbang penyataan Abu Kassim mengenai kebebasan agensi anti rasuah itu sebenarnya bertujuan melindungi Najib.

Kadir berkata, dengan menegaskan SPRM ialah sebuah badan yang berwibawa, orang ramai mungkin selepas ini terpaksa menerima hasil siasatannya yang memihak kepada perdana menteri.

"Bagi pihak SPRM, saya memberi jaminan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion akan dikendalikan dengan bebas, telus dan profesional," kata Bahri hari ini.

Dalam satu temubual dengan Sinar Harian, Abu Kassim menegaskan SPRM tidak akan berganjak dalam memastikan ketelusan hasil siasatan kedua-dua kes itu dan tidak ada pihak lain yang akan mempengaruhinya.

“Walaupun ada pelbagai persepsi mengenai isu ini, selagi saya (jadi) ketua pesuruhjaya, saya akan menjalankan siasatan dengan profesional.

"Sekiranya ada kes, kita akan cadangkan di dalam kertas siasatan kita apa yang kita jumpa. Dan ia betul-betul berasaskan merit.

“Tidak ada pihak-pihak lain yang akan mempengaruhi kita dan hala tuju siasatan kita. Itu janji saya kepada pegawai SPRM dalam satu perjumpaan,” beliau dipetik berkata.

Ini mendorong Kadir, juga seorang pengkritik Najib, menulis dalam blognya semalam, beliau harap kenyataan Abu Kassim itu adalah benar dan bukan semata-mata satu muslihat.

"Mari kita berdoa supaya Abu Kassim bercakap perkara yang benar, kerana jauh di sudut hati saya, saya khuatir ia mungkin muslihat semata-mata.

"Saya bimbang penyataan kebebasannya (SPRM) itu mempunyai hasrat tersembunyi – untuk menguatkan kredibilitinya supaya sekiranya SPRM kelak mendapati tiada kes terhadap Najib, rakyat akan terpaksa mempercayainya," tulis beliau dalam blognya.

Najib berkata, RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi beliau adalah sumbangan derma dan urusan itu dilakukan dengan cara yang sah.

Perdana menteri juga menafikan wang tersebut adalah daripada dana awam atau dikaitkan dengan firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Julai lalu, The Wall Street Journal memetik dokumen siasatan yang menunjukkan wang itu datang dari entiti yang dikaitkan dengan 1MDB. Putrajaya menafikan dakwaan itu. – 27 Disember, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sprm-sekali-lagi-nafi-ada-campur-tangan-kes-src-rm2.6-bilion#sthash.wUP1vywS.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-