Thursday, December 31, 2015

SPRM serah siasatan SRC International, derma RM2.6 bilion kepada peguam negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan kertas siasatan berkaitan kes SRC International dan derma RM2.6 bilion kepada Peguam Negara hari ini. Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Disember, 2015.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengemukakan kertas siasatan berkaitan kes SRC International dan derma RM2.6 bilion kepada Peguam Negara hari ini. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Sri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya berpuas hati dengan keterangan yang diperolehi.

"SPRM berpuas hati walaupun banyak cabaran dan halangan dihadapi SPRM. Lebih 100 orang saksi sudah diambil keterangan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Siasatan membabitkan saksi di dalam negara sudah selesai sepenuhnya. Keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai penderma juga sudah diperolehi.

"Bagaimanapun SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara.

"Dokumen dan keterangan ini hanya boleh diambil melalui proses Mutual Legal Assistance (MLA) kerana ia terikat kepada peruntukan undang-undang perbankan di negara berkenaan," kata kenyataan itu lagi.

Meskipun begitu, poses MLA hanya boleh dikeluarkan dengan persetujuan dan kebenaran Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali seperti mana diperuntukkan undang-undang antarabangsa.

"SPRM sudah membuat permohonan di bawah MLA kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan dokumen dan keterangan tersebut.

"SPRM sudah mengemukakan beberapa syor cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes yang melibatkan 3 kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara," kata Shukri.

SPRM menaruh keyakinan tinggi pada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk membuat keputusan secara profesional.

Katanya, sebelum kertas siasatan membabitkan SRC International dikemukakan kepada Peguam Negara, SPRM sudah membentangkan syor dan penemuan siasatan kepada satu panel bebas khas.

"Ia terdiri daripada 5 ahli, mewakili badan bebas yang memantau perjalanan SPRM kecuali Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, pada 30 Disember 2015.

"Mereka merupakan pakar dalam bidang undang-undang, perbankan, korporat dan juga bidang siasatan."

Tambahnya ahli terbabit antaranya adalah mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mohd Noor Abdullah; mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani dan mantan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee.

Ahli-ahli panel ini juga katanya mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas kepada SPRM. - 31 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sprm-serah-siasatan-src-international-derma-rm2.6-bilion-kepada-peguam#sthash.ku2vlHUK.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-