Saturday, December 12, 2015

Tiada perwakilan Umno berani bangkit isu Tabung Haji, tanah TRX, kata PKR

Tidak kedengaran mana-mana perwakilan berani membincangkan perihal Tabung Haji yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. – Gambar fail Reuters, 12 Disember, 2015.

Tiada perwakilan Umno berani membangkitkan isu tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang membabitkan Tabung Haji, meskipun perhimpunan agung parti itu sudah berlangsung selama 4 hari, kata PKR.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, tidak kedengaran mana-mana perwakilan berani membincangkan perihal institusi negara yang tercalar dengan skandal yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Mahu tidak mahu, umum mengakui, presiden Umno sudah pun terpalit bukan sahaja dengan skandal 1MDB dan derma yang di poket akaun peribadi; malah kini menjalar kepada institusi ibadah Tabung Haji," kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu merujuk kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah berkata, Tabung Haji dalam pembelian tanah TRX daripada1MDB sebanyak RM 188.5 juta menimbulkan beberapa persoalan daripada pelbagai pihak, terutamanya kepada pendeposit.

"Mereka mula memikirkan kemungkinan bebanan pada masa hadapan dan terjejasnya kewangan untuk menjalankan ibadah haji.

"Mengapakah keputusan pembelian dibuat secara tertutup dan tergesa-gesa? Sekali lagi kemelut pengurusan hutang 1MDB menjelma apabila keputusan pembelian tanah TRX dibuat Tabung Haji," katanya.

Memetik jawapan Parlimen, beliau berkata, rakyat dimaklumkan pembelian tanah TRX sebanyak RM2,773 per kaki persegi (RM188.5 juta) memberi keuntungan yang besar kepada 1MDB yang membeli tanah TRX tersebut daripada kerajaan dengan harga hanya sebanyak RM64 per kaki persegi pada 2011.

"Lebih kurang RM4 juta sahaja! Adakah pendeposit Tabung Haji merelakan RM184 juta keuntungan kepada 1MDB; ataupun 47 kali ganda? Apa istimewanya 1MDB dibandingkan dengan Tabung Haji?"

Beliau berkata, transaksi yang melibatkan Tabung Haji merupakan pendekatan yang paling pantas untuk 1MDB mendapat keuntungan berlipat kali ganda mengikut "pintu belakang".

"Menggunakan dana awam dan agensi kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada imej Tabung Haji dan wang pendeposit.

"Tabung Haji secara tidak langsung membelakangkan kepentingan pendeposit sebelum membuat keputusan ini," katanya.

Nurul Izzah berkata, isu itu juga membuktikan terdapat konflik berkepentingan yang "kritikal" dalam transaksi pembelian tanah TRX dengan harga yang melambung tinggi.

"Kerajaan yang diwakili pemimpin utamanya, presiden Umno perlu memberi perincian adakah keputusan ini bakal mempengaruhi peratusan dividen yang dinikmati oleh penyimpan Tabung Haji, terutamanya sekiranya Tabung Haji gagal menjual tanah tersebut dengan harga pasaran?

"Apakah jaminan dan mekanisme Tabung Haji memastikan pendeposit akan mendapat kesan yang positif daripada penjualan semula tanah tersebut?" soalnya.

Beliau berkata, persepsi umum hari ini adalah Tabung Haji menghadapi masalah untuk mencari pembeli tanah TRX tersebut.

Tabung Haji sebelum ini mengatakan sedang mempertimbangkan 3 pembeli berpotensi yang berminat untuk membeli tanah TRX pada awal bulan Mei 2015.

Tabung Haji juga dilaporkan berkata, rundingan jual tanah TRX mengambil masa 2 minggu.

"Malangnya, Tabung Haji gagal menjual tanah tersebut dalam tempoh 8 bulan, iaitu hingga awal Disember 2015.

"Adakah kegagalan ini merupakan bukti bahawa sebenarnya tanah TRX tidak mempunyai pembeli?" kata Nurul Izzah.

"Lebih bermanfaat sekiranya 1MDB dan Tabung Haji membatalkan transaksi jual beli tanah ini bagi mengembalikan semula wang tersebut kepada Tabung Haji dalam usaha menambah baik perkhidmatan ibadah haji dan mengurangkan beban jemaah haji secara langsung."

Tambahnya, kerajaan tidak patut dimaafkan apabila membiarkan 1MDB membuat keuntungan besar seperti ini dengan memberi risiko serta tambahan kos kepada pencarum Tabung Haji.

"Jangan cemari nama baik Tabung Haji dengan mainan politik parti. Kembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi ibadah kita dengan meletakkan keutamaan kepada kredibiliti Tabung Haji dan keperluan pendeposit; bukannya talian hayat dan penerus dana bagi entiti kesayangan perdana menteri," katanya. – 12 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-perwakilan-umno-berani-bangkit-isu-tabung-haji-tanah-trx-kata-pkr#sthash.bJb3CzUG.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-