Tuesday, December 22, 2015

UMNO ibarat Titanic yang bakal heret PAS tenggelam bersamanya

 oleh Fatih Hassan Nordin
KUALA LUMPUR 21 DIS:  Jika diibarat dengan tragedi tenggelamnya kapal penumpang terbesar dunia suatu ketika dahulu iaitu Titanic, UMNO bakal mengheret PAS tenggelam bersama-sama parti pemerintah itu jika kedua-dua parti berkenaan bergabung, kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, skandal melibatkan kepimpinan tertinggi parti Melayu terbesar itu dan isu kejatuhan ringgit serta ekonomi yang tidak menentu akan menjadi punca kejatuhan dua parti berkenaan.

“Dengan kejatuhan nilai ringgit, harga minyak, harga minyak kelapa sawit dan skandal melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kemarahan kebanyakan rakyat akan meletus.

“‘Titanic’ bernama UMNO akan melanggar aisberg, dan membawa ‘penumpangnya’ iaitu PAS karam bersama-samanya,” katanya dan menambah bahkan ahli kedua-dua parti itu tahu bahana yang akan menimpa mereka.

Chin Tong memberi analogi Titanic kepada UMNO dan menganggap PAS sebagai penumpangnya serta karam disebabkan skandal dan isu berbangkit yang gagal dijawab dan diurus dengan baik.

Tidak mampu untuk meraih sokongan rakyat kerana menzalimi rakyat dengan pelbagai bebanan, beliau berkata, UMNO terdesak mahu mendapatkan sokongan sehingga terpaksa memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Senjata terakhir Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah sentimen perkauman dan agama,” katanya pada kenyataan media, baru-baru ini.

Beliau menyeru kepimpinan Pakatan Harapan, malah penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sama-sama membina platform dalam memberi harapan, kesamarataan dan membentuk pengurusaan ekonomi baru kepada rakyat negara ini.

Sebelum ini, pada Majlis Multaqa Serantau anjuran bekas pelajar Al-Azhar, Hadi dan Najib kelihatan sedondon berbaju merah jambu seolah-olah membayangkan kerjasama yang bakal terjalin antara dua parti itu.

PAS, bagaimanapun menafikan kerjasama dengan UMNO dan menyifatkan tindakan berbaik-baik mereka itu kononnya demi penyatuan ummah.

Tidak menolak kemungkinan berlaku perpecahan kedua setelah tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH), beliau berkata, kebanyakkan penyokong PAS memilih parti Islam itu kerana mereka menentang pemerintahan UMNO yang tidak cukup ‘Islam’.

“Kebanyakan penyokong PAS menyertai PAS kerana parti itu menentang UMNO, lebih-lebih lagi ketika pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

“Mereka tak akan terlibat dengan PAS jika PAS bekerjasama dengan UMNO di tengah-tengah ketidakyakinan rakyat dan kurangnya integriti parti itu

“Ini bukan masanya untuk bermain retorik politik, kini adalah masa yang getir untuk rakyat Malaysia keluar dari permasalahan politik yang menjerut itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-