Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, December 2, 2015

UMNO perjuang Melayu setahun sekali?

PASTI ramai ternanti-nanti dengan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang dikira sentiasa menjadi tumpuan terutama kepada orang Melayu yang ingin haknya dimartabatkan.

Setiap tahun pentas perhimpunan itu tampil dengan pelbagai ‘genre’ cerita yang mungkin mencuit hati dan juga penuh dengan kenyataan-kenyataan membela perjuangan Melayu dan Islam.

Bermula dengan perhimpunan agung pertama pada 11 Mei 1946, Piagam atau Perlembagaan (UMNO) telah diterima dan diluluskan oleh para peserta sehinggalah ke hari ini penubuhannya telah mencecah usia 69 tahun.

Tahun demi tahun parti itu bergerak dengan membawa pelbagai agenda pada perhimpunan agungnya untuk memartabatkan orang Melayu walaupun pernah berdepan dengan konflik yang hebat sehingga UMNO terkubur dan muncul UMNO Baru ketika pemerintahan berada di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, apakah UMNO hanya sekadar memperjuangkan bangsa Melayu untuk setahun sekali sahaja? Ini bukanlah satu persoalan kosong kerana semakin meningkat usia UMNO, isu-isu Melayu seakan dipandang seperti bermusim.

Sampai musimnya, seperti PAU ini barulah hal-hal orang Melayu dibangkitkan, jika musimnya berakhir maka isu dan hal-hal tersebut ikut sekali berakhir dan akan berbangkit semula untuk pembukaan musim tahun hadapan.

Dalam isu vape, UMNO dilihat tidak memperjuangkan agenda pembangunan bangsa Melayu secara keseluruhan sebaliknya menyebelahi segelintir golongan peniaga yang mendapat keuntungan perniagaan gejala merosakkan itu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku menteri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO seolah-olah tidak mempunyai sensitiviti terhadap masa depan generasi Melayu. Begitu juga EXCO Pemuda UMNO, Armand Azha Hj Abu Hanifah yang mengkritik Kementerian Kesihatan dalam isu ini.

Malah, pimpinan UMNO menyambut baik kegiatan tidak bermoral itu dengan menyarankan supaya perniagaan vape terus diperkembangkan dan diperluaskan di seluruh dunia.

UMNO sepatutnya menjadi suara pertama yang menentang gejala tidak sihat ini supaya bangsa Melayu tidak terus hanyut dengan perkara yang merugikan itu.

Begitu juga mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang jelas menunjukkan ahli dan pemimpin parti bisu untuk menentang daripada ia ditandatangani.

Prinsip UMNO yang ingin mendaulatkan bangsa Melayu dan negara sudah hilang daripada ingatan mereka kerana tiada satu suara pimpinan UMNO yang cuba mempertahankan dokumen TPPA itu daripada ditandatangani.

Jika ia berhasil ditandatangan pada Februari tahun hadapan bererti UMNO gagal dalam memperjuangkan hak dan kedaulatan Melayu di negara ini.

Konsep TPPA jelas memberi isyarat bahawa negara dijajah tanpa sedar kerana kesannya menyebabkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera terhapus dan kita akan merempat di tanah kita sendiri.

Banyak lagi isu yang tidak diberi perhatian secara konsisten oleh UMNO sepanjang tahun ini seperti Tanah Rizab Melayu, bahasa Melayu, kenyataan Obama yang mencabar Perlembagaan, cadangan UiTM dibuka kepada bukan Melayu dan lain-lain.

Justeru, masih layakkah perhimpunan setahun sekali ini dan UMNO sendiri diiktiraf sebagai memperjuang dan mendaulatkan bangsa Melayu?

Athirah Huda Zalhe
Wartawan Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net)


Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.