Thursday, December 17, 2015

Umno umpama minta nyawa ketika sakaratul maut

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 DISEMBER 2015


ALOR SETAR - Pas Kedah menyifatkan tindakan Umno yang menghulurkan tangan untuk berbaik dengan parti Islam itu umpama meminta nyawa pada masa Umno sedang menghadapi sakaratul maut.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, perhimpunan agung Umno minggu lalu turut menyerlahkan masalah besar yang sedang melanda parti berkenaan.

“Sekalipun Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan pelbagai ‘sekatan’ dalam perhimpunan itu bagi menggambarkan kononnya mereka tidak berpecah, namun ia tetap jelas kelihatan.

“Selain itu, terdapat satu pihak yang berkepentingan kelihatan menyokong Najib tetapi golongan yang lebih besar khususnya di akar umbi pula menyanggah presiden parti itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Umno yang menjadi teraju utama dalam BN turut menjadi sasaran kemarahan rakyat akibat pelbagai skandal dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6 bilion, GST, cadangan kenaikan tol, penghapusan subsidi, perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) serta bebanan kos hidup yang semakin bertambah.

“Isu-isu itu secara tidak langsung menjadikan Umno kelihatan benar-benar sedang nazak dan kelemasan,” katanya.

Beliau berkata, Pas Kedah juga menyokong kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyeru supaya Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya.

“Seruan itu bertepatan dengan masanya, memandangkan banyak kehancuran yang berlaku dalam negara dan pelbagai derita yang melanda rakyat adalah angkara kegagalan Umno yang berpunca daripada tindakan mengetepikan syariah.

“Jika kepimpinan tertinggi Umno tidak bersedia menyahut seruan Pas, maka saya menasihatkan ahli-ahli Umno supaya meninggalkan parti itu dan sertailah Pas beramai-ramai,” ujarnya.

Beliau berkata, pelbagai saranan yang dilontarkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Kongres Rakyat Peringkat Negeri Kedah baru-baru ini juga menunjukkan keselesaan rakyat untuk bersama Pas dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Ia memberi isyarat bahawa Pas wajar menggantikan Umno sebagai parti yang dominan dalam kalangan umat Islam dan Melayu di negara ini,” katanya.

Berhubung tahaluf siyasi yang masih dipertahankan dengan PKR melalui muafakat PR, Pas Kedah mengambil pendekatan proaktif untuk terus menjalin kerjasama politik dengan parti tersebut.

“Perbincangan akan dibuat dari semasa ke semasa, khususnya dalam menyelaraskan program kedua-dua parti sebagai persediaan menghadapi PRU14,” katanya.

Sebelum ini, Umno menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Pas bagi memastikan pentadbiran akan datang tidak jatuh ke tangan pembangkang pro-DAP.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-