Friday, January 8, 2016

Apa bentuk kerjasama Pas-Umno?

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
8 JANUARI 2016

Umno-Pas
SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat ada beberapa skop isu yang disifatkan relevan boleh diambil kira Pas dan Umno dalam konteks kerjasama mereka terutama melibatkan kepentingan Islam dan kaum Melayu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kedua-dua pihak sudah tentu mengharapkan agar kerjasama itu nanti tidak akan mengakibatkan sokongan terhadap mereka terhakis.

“Bentuk kerjasama itu mungkin menjurus lebih kepada isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu. Seterusnya dari segi agama, isu semasa, ekonomi, kebangkitan orang Melayu dan sebagainya.

“Jika itu landasan kerjasama, kita mungkin boleh lihat ia akan menjadi kenyataan. Tapi tidaklah sampai membawa kepada gabungan. Ia sesuatu yang agak mustahil ketika ini,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu hanya mengadakan kerjasama dalam konteks Islam dengan Umno sejajar dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang kekal dengan keputusan lama iaitu tidak menyertai BN atau bersama Umno.

Menurutnya, setelah Umno dan Pas melihat sokongan Melayu terhadap DAP telah terhakis, kedua-duanya memilih untuk menjalin kerjasama yang disifatkan mampu mengembalikan sokongan orang Melayu kepada mereka.

“Susulan perpecahan dalam PR, saya lihat sokongan Melayu terhadap DAP terhakis kerana orang Melayu marah dengan tindakan DAP terhadap Pas.

“Justeru dalam keadaan demikian, Umno sedar dan Pas pun sedar, untuk meraih kembali sokongan orang Melayu baik di bandar mahupun luar bandar, dengan menjalin kerjasama membabitkan kepentingan umat Islam dan Melayu itu,” katanya.

Sementara Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata sukar meramalkan bentuk kerjasama Pas-Umno susulan tiada pendirian rasmi setakat ini.

“Kecuali ada isu-isu berbangkit seperti undang-undang syariah, agenda Melayu atau isu-isu yang ada kepentingan bersama mungkin mereka akan kerjasama. Lain-lain isu seperti berkaitan Perlembagaan, undang-undang Islam, pentadbiran Islam, ekonomi Islam,” katanya.

Beliau turut menyifatkan gabungan sokongan terhadap Umno dan Pas nanti akan memberi satu kekuatan kepada mereka.

“Maksudnya majoriti orang Melayu menyokong dua parti ini. Itu mungkin hasrat yang diharapkan oleh Umno dan Pas juga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-