Saturday, January 23, 2016

Demo Bantah TPPA Hambar, Tian Chua Kena 'Boo'?


KUALA LUMPUR – Walaupun cuaca baik tanpa diselubungi jerebu, dianggarkan hanya 3,000 orang peserta sahaja yang sanggup datang menyertai perhimpunan Bantah TPPA di Padang Merbok di sini pada Sabtu.

Perhimpunan anjuran PAS dan pelbagai organisasi bukan kerajaan yang bertemakan warna hijau itu sekadar menyaksikan penglibatan kecil beberapa pemimpin pembangkang tanpa kehadiran ‘nama besar’ DAP atau PKR.

Rata-rata yang terlibat dalam perhimpunan kecil ini datang dengan satu misi dan visi sama, iaitu konon ingin memastikan pihak kerajaan Malaysia tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Perhimpunan dianggarkan bermula selepas pukul 2 petang dengan ratusan peserta terlibat tegar berkumpul dari pelbagai lokasi di ibu negara antaranya Masjid Negara, kompleks Sogo, Maju Junction dan Masjid Jamek.

Cuti panjang hujung minggu sempena Thaipusam masih gagal menarik ramai hadir bahkan para peniaga Bantah TPPA terpaksa ‘rayu’ peserta beli baju-T yang tidak habis dijual sehingga mencetuskan perasaan kurang selesa.
Para peserta yang terlibat kemudiannya berarak beramai-ramai menuju ke lokasi terakhir mereka berkumpul iaitu di Padang Merbok berdekatan Taman Tasik Perdana berbanding rancangan asalnya ‘menawan’ Dataran Merdeka.

Melaungkan slogan sama “Bantah TPPA”, peserta terlibat juga dilihat tidak peka apabila ada sebahagian daripada mereka datang dengan membawa anak-anak kecil sekali gus menyalahi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dari segi keselamatan pula, perhimpunan berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan dan rusuhan apabila setiap gerak geri peserta diawasi dengan baik oleh Pihak Polis Diraja Malaysia yang telah membuat persiapan awal.

Tiada langsung kehadiran anggota Pasukan Simpanan Persekutuan apatah lagi trak meriam air bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku kerana perhimpunan itu nyata langsung hambar dan ibarat pesta mini fun fair.

Antara yang tampil ‘berani’ berucap di pentas di hadapan padang itu ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen PAS Temerloh, Datuk Nasruddin Hassan dan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali.
Manakala ucapan ‘panas’ Naib Pengerusi PKR, Tian Chua dilaporkan telah disambut ‘boo‘ oleh ribuan peserta apabila beliau tanpa malu dakwa semua parti pembangkang termasuk musuh ketat PAS iaitu PAN menolak TPPA.

Lebih memalukan Ahli Parlimen PKR Batu itu apabila ramai peserta majoriti besarnya penyokong PAS melaungkan “Tolak Amanah” yang merujuk kepada PAN ketika Tian Chua dengan angkuh menjerit “Tolak TPPA”.

Presiden PAN, Mohamad Sabu turut dilaporkan menyertai perhimpunan itu namun tidak ‘berani’ memasuki Padang Merbok apatah lagi naik ke pentas disediakan demi mengelak jadi mangsa ‘boo‘ sebagaimana Tian Chua.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyeru ahli-ahlinya datang bagaimanapun tidak muncul selepas dakwaan beliau bahawa DAP secara ‘rahsia’ sokong TPPA menyebabkan dirinya teruk dihentam DAP.

Parti cauvinis Cina itu malah gelar Ahli Parlimen Marang itu sebagai dangkal apabila menafikan tohmahan Abdul Hadi konon DAP ‘restui’ TPPA kerana ia beri banyak kelebihan kepada kaum Cina dalam bidang ekonomi. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-