Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, January 13, 2016

Isu SRC, RM2.6 bilion perlu diputuskan segera, kata bekas peguam negara

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Published: 13 January 2016 8:51 AM

Bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu segera buat keputusan berhubung siasatan SRC International dan wang RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri. Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Januari, 2016.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali digesa bertindak segera terhadap kertas siasatan SRC International dan wang RM2.6 bilion dalam akaun Datuk Seri Najib Razak kerana ia menyentuh integriti perdana menteri dan kerajaan Malaysia, kata seorang bekas peguam negara.

Menegaskan "dunia sedang memerhati Malaysia", Tan Sri Abu Talib Othman berkata Apandi perlu sedar kes tersebut melibatkan kepentingan awam, terutamanya kerana ia melibatkan perdana menteri yang masih memegang jawatan.

"Beliau (peguam negara) perlu memberi keutamaan kepada kes ini dan menyemak kertas siasatan itu dengan segera kerana integriti perdana menteri yang sedang mentadbir negara dan kerajaannya menjadi taruhan.

"Jika perlu, beliau (Apandi) kena bekerja di luar waktu pejabat meneliti dokumen yang banyak itu kerana menjadi tanggungjawabnya membuat keputusan secepat mungkin," kata Abu Talib yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia kepada The Malaysian Insider.

Abu Talib yang merupakan peguam negara selama 13 tahun dari 1980 berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Apandi minggu lalu yang beliau memerlukan masa untuk mengkaji kertas siasatan itu.

Memberi jaminan beliau akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, Apandi yang mula memegang jawatan pada Julai lalu berkata beliau akan meneliti dengan terperinci kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

"Saya sedang mengkajinya dan anda perlu ingat, mereka mengumpul bukti daripada lebih 100 saksi, bukan ada satu fail, failnya setinggi saya.

"Dan perlu ingat, saya harus mengkajinya dengan teliti dan saya memberi jaminan kepada anda, saya akan menghalusi segala bukti yang dikemukakan," katanya kepada pemberita pada pembukaan Tahun Perundangan 2016 di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Abu Talib berkata, peguam negara juga perlu sedar persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

"Masalah ini (RM2.6 bilion dan SRC) mesti diselesaikan tanpa berlengah lagi atau jika tidak, ia mungkin memberi kesan ke atas pelaburan asing ke negara ini," katanya.

Abu Talib juga melahirkan kebimbangannya terhadap resolusi diluluskan Parlimen Eropah pada 17 Disember, yang mencatatkan begitu banyak pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia, termasuk dalam siasatan ke atas derma RM2.6 bilion dan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kesatuan Eropah (EU) menyeru "siasatan yang bebas dan telus" dalam dakwaan rasuah dan supaya Putrajaya "menahan diri daripada memberi tekanan kepada SPRM dan media".

EU menyatakan media berdepan sekatan di bawah undang-undang selepas melaporkan mengenai 1MDB dan sumbangan wang dalam akaun Najib itu, manakala peguam Matthias Chang dan ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditangkap kerana meneruskan dakwaan itu.

EU juga mendesak Akta Hasutan dimansuhkan, Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara ditarik balik dan semua undang-undang diselaraskan dengan standard antarabangsa mengenai kebebasan bersuara dan berhimpun dan perlindungan hak asasi manusia.

Ia berkata, Putrajaya perlu membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan tuduhan bermotif politik, dan menamakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, kartunis Zulkiflee Anwar Haque, blogger Khalid Ismath, ahli akademik Dr Azmi Sharom dan aktivis Lena Hendry dan Maria Chin Abdullah.

EU juga "amat kesal dengan kebangkitan kumpulan pelampau yang terus menyumbang kepada terjadinya ketegangan kaum" dan menyifatkan hukuman mati kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Pada 31 Disember, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, agensi itu sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat peguam negara selepas menemu bual lebih 100 orang, termasuk penderma wang RM2.6 bilion.

SPRM berkata, ia juga sudah menyiasat SRC International berhubung dana RM4 bilion, dan tidak 1MDB.

Shukri berkata, siasatan ke atas RM2.6 bilion itu dibuat berasingan, sambil menambah, ia masih belum selesai kerana hanya saksi dalam Malaysia yang sudah disoal.

Beliau berkata, SPRM masih belum mendapatkan dokumen dan kenyataan melibatkan urus niaga kewangan di luar negara dan meminta bantuan peguam negara memperolehnya melalui bantuan undang-undang bersama.

Najib menafikan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya adalah daripada 1MDB atau menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadinya. – 13 Januari, 2016.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/isu-src-rm2.6-bilion-perlu-diputuskan-segera-kata-bekas-peguam-negara#sthash.nk5vuJtC.dpuf