Friday, January 1, 2016

Lebih 5,000 berselawat sempena tahun baru

FMT Reporters | January 1, 2016

Bacaan qasidah dan selawat dipimpin oleh tokoh qasidah terkenal Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf.


KUALA LUMPUR :  Walaupun dalam keadaan gerimis, ia tidak mematahkan semangat lebih 5,000 orang untuk berselawat sempena kedatangan tahun baru.

Turut tidak berganjak dalam ‘Program Kuala Lumpur Berselawat, Wilayahku Ceria’ itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.

Program selawat yang diadakan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad itu dimulakan dengan Solat Isyak beramai-ramai dan persembahan beberapa kumpulan nasyid.

Ia diteruskan dengan bacaan qasidah dan selawat yang dipimpin oleh tokoh qasidah terkenal Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf.

Antara judul qasidah yang disampaikan adalah Ya Rasulullah Ya Nabi, Ya Hanana, Mahallul Qiyam, Ya Rabba Makkah, Subhanallah, Solatullah Salamullah, Ya Rabbi Bil Mustofha, Solatun Bis Salamil Mubin dan Busyra Lana.

Turut mencuri tumpuan, cucu pertama Syech Abdul Qadir, Muhammad Hadi Abdul Kadir yang membuka majlis selawat anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC).

Pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid turut menyampaikan ceramah khas pada program berkenaan.

Program itu diakhiri dengan bacaan doa memohon kemakmuran untuk negara yang diketuai oleh Zahid sendiri, dan nyanyian lagu Negaraku.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-