Monday, January 25, 2016

Malaysia sukar capai negara maju jika tolak TPPA - Mustapa

FMT Reporters | January 25, 2016

Pelaburan yang masuk melalui TPPA mampu mencipta pasaran dan perniagaan lebih meluas.
KANGAR:  Malaysia akan terlepas banyak peluang untuk merapatkan jurang kemajuan serta sukar mencapai status negara maju berpendapatan tinggi jika memilih untuk menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Malah, jelas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menerusi TPPA, negara dijangka menerima pelaburan tambahan sebanyak USD136 bilion hingga USD239 bilion selain dapat mewujudkan dua juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2027 yang sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pelaburan yang masuk ini mampu mencipta pasaran dan perniagaan lebih meluas. Jika pasaran dalam negara kecil seperti Malaysia tidak cukup, kita harus menerima pembaharuan agar perniagaan kita terus berkembang.

“Kerajaan merasakan amat penting untuk merebut peluang yang menjadi batu loncatan kepada hala tuju negara demi meningkatkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Malaysia juga akan kehilangan banyak peluang perdagangan dan pelaburan jika memilih untuk menolak TPPA.


“Sebaliknya, Singapura dan Vietnam yang menyertai TPPA akan dapat menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan asing ke negara mereka.

“(Ini akan menyebabkan) Malaysia akan beransur-ansur ketinggalan dan menyebabkan jurang kemajuan kita dengan mereka semakin luas kerana TPPA memberi manfaat terhadap pembangunan sesebuah negara dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan pasaran, pembangunan dasar dan kecanggihan teknologi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar menimbang setiap maklumat TPPA dan menolak andaian tidak berasaskan fakta yang bertujuan menakutkan masyarakat.

“Kita tidak harus terpengaruh (dengan andaian) akan dikuasai Amerika Syarikat. Banyak lagi negara yang menyertai TPPA seperti Australia, Brunei, Kanada, Jepun, Singapura dan New Zealand yang bebas menetapkan hala tuju mereka walaupun menandatangani TPPA.

“Malah, TPPA tidak terus dikuatkuasakan selepas ditandatangani. Ada tempoh enam bulan untuk kita timbang dan lihat kesan pelaksanaannya dan jika ia menjejaskan banyak perkara, kita boleh keluar tanpa syarat,” katanya.

Mustapa turut menegaskan, Malaysia tidak ditekan oleh mana-mana pihak supaya menyertai TPPA dan kerajaan telah menimbang kesannya selain memastikan hak Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak tergugat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-