Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, January 16, 2016

Mat Sabu: Kita bermusuhan dengan sesiapa berkawan dengan BN

Anne Muhammad
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata partinya bermusuh dengan mana-mana parti yang 'berkawan' dengan Barisan Nasional (BN).

"Kita musuh dengan BN dan siapa sahaja yang berkawan dengan BN," katanya kepada pemberita di Retreat DAP di Subang Jaya hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan PAS mengisytiharkan AMANAH sebagai musuh.

Ia kerana AMANAH dijangka akan bertanding sebanyak lapan kerusi di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Walaupun Mohamad tidak menyatakan mana-mana parti namun ia dilihat menjurus kepada PAS yang sebelum ini dilihat mahu bekerjasama dengan Umno atas nama Islam.

Sebelum ini isu mengenai kerjasama antara PAS dan Umno berlarutan sejak sekian lama dan timbul semula kebelakangan ini.

Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan pertemuan antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam majlis Multaqa Almuni Al Azhar bulan lalu.

Kedua-dua pemimpin itu bukan sahaja dilihat mesra, bahkan tampil berpakaian sedondon dengan baju Melayu merah jambu.

Najib juga sebelum itu menawarkan kerjasama dengan PAS bagi membentuk hubungan yang lebih rapat semasa berucap di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kontroversi itu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN tetapi boleh meneruskan kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan agama Islam.