Wednesday, January 6, 2016

Pakatan Harapan bakal kembalikan momentum politik tanah air

 oleh Fatih Hassan Nordin
KUALA LUMPUR 6 DIS
Konvensyen Pakatan Harapan Sabtu ini dijangka mengembalikan semula momentum kepada gabungan parti pembangkang untuk meneruskan usaha melawan kezaliman UMNO BN.

Harapan itu disuara pimpinan muda DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu melakar masa depan politik tanah air dengan cemerlang berikutan terkuburnya Pakatan Rakyat akibat manipulasi isu hudud yang didalangi UMNO BN.
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Yusof menyifatkan penganjuran konvensyen itu sebagai titik mula Pakatan Harapan dalam merangka pelan dasar kerja bersama yang sebelum ini kurang konsisten.

“Rakyat hanya tahu Pakatan Harapan melalui pengumumannya tahun lalu. Penganjuran konvensyen itu akan mengesahkan kewujudannya. Sekaligus ia memberi gambaran jelas mengenai dasar dan perjanjian ketiga-tiga parti itu.

“Kita harus memperkuatkan gabungan ini dengan pelaksanaan dasar serta meletakkan syarat yang dipersetujui bersama supaya ia tidak jadi seperti Pakatan Rakyat,” katanya kepada Roketkini.

Konvensyen yang akan berlangsung pada 9 Januari di Shah Alam Convention Center (SACC) itu bakal menyaksikan kehadiran perwakilan daripada setiap parti untuk sesi perbahasan dan pengumuman rangka dasar dan perjanjian bersama.

Ia turut memfokuskan antaranya isu melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat yang saban hari kian dihimpit berikutan peningkatan melambung tinggi kos sara hidup yang gagal ditangani Kerajaan BN UMNO.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil pula menyifatkan perjanjian itu suatu bentuk pengukuhan terhadap penubuhan Pakatan Harapan, seterusnya memudahkan usaha menggerakkan jentera parti dan merangka pelan tindakan untuk menyakinkan rakyat.

“Kita cuma ada dua tahun lagi untuk menyakinkan rakyat. Kita mahu Pakatan Harapan membawa aspirasi rakyat seperti yang diharap-harapkan,” katanya.

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Tan Kar Hing yang mengakui terkilan dengan perpecahan Pakatan Rakyat tetapi menaruh keyakinan terhadap penubuhan gabungan baru iaitu Pakatan Harapan.

“Saya tetap optimis dengan pembentukan Pakatan Harapan. Kita perlu membina momentum berterusan dalam melaksanakan dasar-dasar yang dipersetujui bersama, supaya rakyat yakin terhadap kredibiliti perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata Pakatan Harapan harus menekankan prinsip bersama bagi mengelakkan sebarang salah faham berikutan ketiga-tiga parti mempunyai latar belakang berbeza.

“Perbezaan pendapat itu tentu ada, cuma cara penyelesaian haruslah jelas. Ini penting bagi mengelakkan masalah sama yang dialami Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-