Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, January 18, 2016

Pakatan Harapan bina momentum tumbangkan BN

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Dasar bersama Pakatan Harapan yang bersifat radikal dan menangani isu orang Melayu bakal membina momentum untuk melawan rejim UMNO BN pada pilihan raya akan datang.
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, berkata DAP menyokong dasar itu yang memberi keutamaan kepada dasar bersama itu termasuk mengatasi isu kebimbangan orang Melayu.

“Dasar bersama itu bukan saja jadi ‘peluru’ untuk lawan UMNO tetapi ia akan dilaksanakan sejurus Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya kelak,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.

Antara pimpinan Pakatan Harapan yang hadir ialah Setiausaha Sekateriat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah; Pengarah Strategi Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming; Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Rajiv Risyakaran dan beberapa lagi.

Pada sidang media sama, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir pula menyifatkan persetujuan dasar bersama sebagai era baru pakatan pembangkang.
“Kali ini kita nak jadikan konsensus dicapai secara murni dan jelas. Ketiga-tiga parti tak lagi dalam mod setuju untuk tidak bersetuju,” katanya.

Beliau berkata, BN hanya mampu memanipulasi isu perkauman dan agama tetapi ia sekaligus memperkecil potensi rakyat untuk berubah khususnya generasi muda.

Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad pula menyatakan konteks radikal yang dimaksudkan tidak terkeluar dari Perlembagaan Malaysia.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menyatakan Pakatan Harapan meletakkan tiga perkara yang menjadi asas kepada kerangka dasar bersama termasuk mengatasi isu yang menjadi kebimbangan orang Melayu.