Saturday, January 16, 2016

Pas bersama Umno bukan dominan tapi survival politik

NIZAM ZAIN
16 JANUARI 2016

Umno-Pas
SHAH ALAM – Majlis Syura Ulamak Pas setuju berkerjasama dengan Umno bukan kerana mahu menjadi sebuah parti dominan sebaliknya parti Islam itu melihat ruang dan peluang untuk menjayakan agenda serta perjuangan Islamnya dengan lebih berkesan.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, keterbukaan pemimpin Umno terhadap dasar Islam yang diperjuangkan Pas itu membolehkan parti Islam itu mudah untuk bekerjasama.

“Saya tidak fikir Pas cuba jadi dominan kerana Pas tahu macam mana dia nak jadi dominan, sebab Umno yang membentuk tulang belakang kerajaan, kerana kerusi Umno jauh lebih besar berbanding Pas

“Pas setuju bekerjasama dengan Umno kerana Umno dilihat sedia bersetuju dengan perjuangan Pas seperti Kanun Jenayah Syariah Kelantan di Kelantan dan tidak menghalang Pas membawa Rang Undang-Undang Persendiriannya ke Parlimen,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pada Rabu mendakwa Pas mahu kekal mendominasi pengundi Melayu Islam dengan cara ‘mendampingi’ Umno selepas hasrat menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat tidak kesampaian.

Khalid berkata, Pas terpaksa mencari kaedah lain dan Umno adalah rakan politik terbaik kerana parti Islam itu sendiri mahu menjadi dominan seperti Umno dalam BN.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa juga berkata, Pas hanya boleh menjadi parti dominan jika berjaya membentuk kerajaan Persekutuan atau menyertai BN.

“Belum masanya Pas mengambil langkah lebih jauh untuk melakukan kerjasama politik ke arah itu kerana pelbagai faktor,” ujarnya.

Ditanya tentang langkah Pas itu juga didakwa mahu mendominasi undi pengundi Melayu pada PRU14, Mohamed Mustafa berkata dilihat hanya mahu mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU12 dan PRU13 lalu sahaja.

Beliau berkata lagi, Pas hanya boleh mendominasi undi pengundi Melayu sekiranya pengundi Melayu itu sendiri menolak Umno pada pilihan raya akan datang.

“Selagi orang Melayu menerima Umno, Pas tak mungkin jadi dominan. Tapi kalau Melayu sudah memilih Pas dan tidak lagi mahu bersama Umno, maka sudah pasti Pas akan dapat peluang itu,” jelasnya.

Tambah beliau, pada masa ini Pas mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam politik untuk memastikan identiti, perjuangan dan dasar Pas tidak menerima padah apabila bekerjasama dengan pihak lain.

“Pengalaman Pas cukup getir semasa bersama PR apabila perjuangan, agenda dan dasarnya telah dikompromikan kepada satu tahap yang mana ahli-ahli Pas merasakan sukar untuk diterima.

“Sebab itu Pas bekerjasama dengan Umno bukan untuk menjadi dominan tapi untuk mempertahankan dasar dan perjuangan dia, kalau dia nak jadi dominan, dia kena berjaya mengatasi Umno,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-