Wednesday, January 13, 2016

Pas Kawasan Kota Raja lumpuh, Mariah cakap tak serupa bikin

OLEH MANZAIDI MOHD AMIN
Lebih 500 ahli Pas termasuk ketua-ketua cawangan dalam Kawasan Kota Raja hadir mesyuarat kelompok.

Dakwaan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud kononnya selepas beliau menyertai Parti Amanah Negara (PAN), Pas kawasan itu lumpuh dan akan menyaksikan banyak cawangan ditutup berikutan tidak cukup korum untuk mengadakan mesyuarat.

Beliau yang juga Ketua Wanita PAN adalah antara lima Ahli Parlimen yang keluar dari Pas pada September lalu untuk meneruskan perjuangan bersama dengan parti baharu.

Bagaimanapun, dakwaan itu meleset sama sekali apabila program perasmian serentak Mesyuarat Agung Cawangan-Cawangan Pas Kawasan Kota Raja yang diadakan di Markaz Pas Bukit Naga dua hari lalu, menyaksikan kehadiran lebih 500 ahli termasuk ketua-ketua cawangan.

Mesyuarat serentak itu dirasmikan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dan sebanyak 32 cawangan Pas dalam Kawasan Kota Raja telah menghantar wakil.

Kehadiran di luar dugaan itu telah menafikan dakwaan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Pusat itu kononnya Pas kawasan berkenaan tidak lagi aktif kerana majoriti pemimpin akar umbi sudah menyertai PAN.

Dengan sambutan itu, Iskandar yakin Pas Selangor dan Kawasan Kota Raja khususnya semakin subur serta bertambah kuat.

"Pemimpin boleh datang dan pergi, boleh setia kekal dan lompat. Yang pasti Pas tetap kekal kukuh berdiri dan semakin kuat dari semasa ke semasa," kata Iskandar.

Sementara itu, ujar beliau, Pas Selangor telah membuat beberapa perubahan ketara seperti tidak lagi memperbanyakan slogan semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada usaha penyelesaian.

Kata beliau, mulai tahun ini Pas akan melipatgandakan agenda membela nasib rakyat baik di peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-