Sunday, January 10, 2016

Pekeliling PAS larang ahli bantu DAP, PAN!

KUALA LUMPUR – Satu surat pekeliling oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melarang ahli parti itu menghadiri sebarang aktiviti atau program melibatkan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP didedahkan oleh Bekas Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat di media sosial hari ini.

Pekeliling bertarikh 9 Januari 2015 itu antara lain menyebut ahli PAS dilarang mengambil bahagian, melibatkan diri, bekerjasama, memberi bantuan atau menyertai sebarang program atau aktiviti PAN dan DAP di semua peringkat.

Ahli PAS juga perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum menghadiri sebarang jemputan program atau aktiviti politik anjuran parti politik lain kecuali jemputan PAN dan DAP yang dilarang sama sekali.

Menurut pekeliling yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Januari lalu.

Kata pekeliling itu, ketetapan tersebut diambil demi memelihara keutuhan dan perpaduan parti serta mengelakkan pelanggaran Perlembagaan dan arahan parti

“Saudara/Saudari dipinta dengan segera menyampaikan arahan ini ke semua peringkat parti,” kata pekeliling itu.

Suhaizan Kaiat yang kini menyertai PAN membayangkan pekeliling berkenaan bakal menjejaskan hubungan politik antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor.

“Siapa boleh sahkan surat ini? Sebab macam pelik sikit. Pertama tiada nama parti PAN di Malaysia. Kedua ahli PAS boleh hadir program UMNO. Ketiganya nak jumpa PKR kena dapat surat dulu,” sindirnya dalam status Facebook beliau.

Suhaizan turut memuatnaik salinan surat pekeliling itu dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Beliau bagaimanapun didapati bertindak memadam salinan surat pekeliling itu tersebut beberapa minit kemudian. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-