Thursday, January 21, 2016

Pemimpin Umno ditipu hadir sidang media singkir MB?

Apabila Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Maznah Hamid diminta menghadirkan diri bagi taklimat tertutup bersama kepimpinan parti di Hotel Grand Alora, di Alor Setar, semalam, beliau dilaporkan tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai agenda perjumpaan berkenaan.

Menurut Sinar Harian, beliau hanya dimaklumkan bahawa sesi itu adalah bersama dengan pemimpin-pemimpin Umno negeri.

"Selaku ketua sayap negeri dan bahagian, saya hadir untuk mengetahui perkembangan parti terutamanya di Kedah.

"Sebaik sampai langsung tiada mesyuarat taklimat, sebaliknya saya dan beberapa pemimpin lain diminta ke barisan depan untuk menyertai sidang media, sedangkan kami tak tahu apa sebenarnya dan tujuan sidang media diadakan," katanya yang dipetik portal itu.

Maznah berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah pada sidang akhbar. Semalam yang mendakwa kepimpinan Umno negeri itu telah hilang keyakinan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar.

Pemimpin Wanita Umno itu juga menegaskan bahawa kehadirannya pada sidang akhbar itu tidak seharusnya disalah anggap sebagai menyokong usaha menyingkirkan Mukhriz.

"Saya amat berharap kepada kepimpinan Umno agar semua kembali rasional dalam membuat keputusan.

"Janganlah kita membuat sesuatu yang menyusahkan rakyat dan merugikan bangsa kit sendiri. Semoga Kedah kembali aman sejahtera," katanya.

Selain kedua-dua mereka, exco Kedah, Datuk Suraya Yaacob juga menafikan majoriti kepimpinan Umno negeri menolak Mukhriz sebagai menteri besar.

Beliau yang juga tidak menerima jemputan bagi menghadiri sidang media semalam berkata 'serangan' itu sebagai tindakan yang gelojoh dilakukan pemimpin tertentu.

"Tak boleh kata seluruh kepimpinan Umno (Kedah) tolak Menteri Besar... kalau seluruh kepimpinan maknanya Ketua Umno cawangan pun termasuk sekali...itu hanya melambangkan mereka yang berada di situ.

"Saya tidak dijemput dan tak akan sokong sebab itu bukan cara dalam Umno...tak menjangka ia akan jadi sebegitu drastik, " katanya yang dipetik portalBerita Harian Online.

Portal itu juga melaporkan seorang lagi exco Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain, yang hadir pada sidang media semalam pula, mengakui ragu-ragu sama ada kaedah dilakukan Ahmad Bashah dan pemimpin Umno lain itu betul atau tidak.

"Ia menjadi pertanyaan pada saya sama ada ini kaedah yang betul...soal pucuk pimpinan dah tak boleh (diterima) adalah biasa, namun kaedah dia tu...saya tiba di sidang media itu dan bertanya pelbagai soalan, namun akhirnya saya akur di situ sahaja.

"Sekiranya ditanya saya pada peringkat awal, mungkin saya bagi pandangan lain, " katanya.

Malaysiakini tidak dapat menghubungi Maznah untuk mendapatkan ulasan lanjutnya.

Sementara itu, ADUN Bandar Baru Datuk Norsabrina Mohd Noor juga berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sidang akhbar itu.

"Saya tidak hadir dan tidak menyedarinya," katanya kepada Malaysiakini dalam satu mesej teks apabila ditanya sama ada semua pemimpin Umno negeri menyedari usaha untuk menyingkirkan Mukhriz itu.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-