Wednesday, January 13, 2016

PKR: 'Menteri Oxford' tak akan faham isu siswa lapar

by ARIANNA
Menteri lulusan pusat pengajian tinggi elit seperti Universiti Oxford tidak akan mampu memahami kesengsaraan pelajar universiti, sindir Wanita PPKR.

Zuraida Kamaruddin merujuk kepada kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (gambar) yang berkata beliau tidak merasakan terdapat mahasiswa yang kebuluran di negara ini.

“Sebagai graduan Oxford, beliau mungkin tidak mampu faham penderitaan mahasiswa universiti tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pelajar susah universiti yang hanya ada RM5 sehari untuk makan adalah hakikat yang berlaku dan terpulanglah kepada kerajaan bagi memastikan mahasiswa ini dibekalkan dengan hidangan secukupnya setiap hari.”

Anggota parlimen Ampang itu juga berkata, kemiskinan di kalangan mahasiswa sentiasa menjadi masalah dan bertambah buruk dengan peningkatan kos hidup dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Kita tidak boleh buar mahasiswa teruskan hidup dengan hanya roti dan mi segera kerana makanan itu tidak memberikan nutrisi cukup untuk tubuh badan,” katanya.
Khairy yang juga ketua Pemuda Umno kelmarin meminta agar isu pelajar “kebuluran” tidak disensasikan dan dikaji dahulu kesahihannya.

Katanya, walaupun terdapat pelajar susah namun tidak ada kes sehingga berlaku kebuluran.

Beberapa pemimpin pelajar sebelum ini membangkitkan isu kesusahan pelajar berdepan kos sara hidup tinggi sehingga tidak cukup makan.

Laporan berkaitan kesusahan seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menahan lapar sehingga “usus terkoyak” dan “muntah darah” mendapat perhatian amat luas. – Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-