Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, January 17, 2016

PKR sertai majlis Amanah, tak hirau bantahan rasmi PAS, kata Rafizi

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Published: 17 January 2016 2:16 PM

Rafizi Ramli berkata untuk menjatuhkan Umno, PKR akan akan terus bekerjasama dengan sesiapa sahaja.Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Januari, 2016.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli terus menyertai majlis ceramahnya bersama Parti Amanah Negara (Amanah) di Kelantan malam tadi tanpa menghiraukan bantahan rasmi dibuat PAS negeri itu beberapa hari lepas.

Katanya, PKR akan terus bekerjasama dengan sesiapa sahaja bagi menjatuhkan kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana ia terlalu memudaratkan rakyat.

"Jika Rosmah ajak saya ceramah bantah Najib pun, saya datang. Kerana Najib dan Umno sekarang adalah parti yang tidak boleh didekati.

"Lebih-lebih lagi, Amanah ini rakan PKR dalam Pakatan Harapan," kata Rafizi pada majlis yang diadakan di Kok Lanas itu.

Menurut Rafizi, negara Malaysia yang dipimpin Najib terlalu teruk dan membuat bahana kepada ekonomi negara sehingga dirasai semua rakyat.

"Dulu zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi mahasiswa, mereka pergi membuat demonstrasi di Baling kerana petani lapar.

"Sekarang, tidak lama lagi, petani akan pergi ke kampus universiti untuk berdemo, kerana mahasiswa pula lapar. Ia hanya berlaku di zaman Najib Razak sahaja.

"Oleh itu, bagi saya, Najib ini tidak boleh didekati," kata Rafizi yang dipercayai menyindir PAS yang dilihat sedang dalam proses mendekati Najib dan Umno ketika ini.

PAS Kelantan menghantar surat rasmi kepada PKR membantah tindakan parti itu mengadakan ceramah bersama Amanah di negeri yang terletak di bawah pemerintahan parti Islam itu.

Surat bertarikh 13 Januari itu ditujukan kepada Rafizi sendiri, yang turut merangkap naib presiden PKR.

Berdasarkan salinan surat tersebut yang tersebar di media sosial, Badan Perhubungan PAS Kelantan menerima laporan mengenai pemimpin PKR yang hadir sepentas dalam program anjuran Amanah di Kelantan.

"Ekoran daripada itu, ia mencetuskan hubungan politik tidak selesa dan menjejaskan hubungan baik PAS-PKR di Kelantan," menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

"Sehubungan itu Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan dengan ini menzahirkan rasa dukacita atas penglibatan tersebut, dan memohon agar ia tidak diteruskan demi kebaikan bersama," kata kandungan surat yang dihantar menjelang ceramah Rafizi di Kok Lanas malam tadi itu.

Bantahan PAS terhadap PKR semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga ada pemimpin menjangkakan hubungan antara keduanya akan putus sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antara yang berpendapat demikian ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, hubungan kedua-duanya akan kekal sekurang-kurangnya hingga PRU14.

PAS sebelum ini membuat pendirian untuk mengadakan tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PKR dan taawun (kerjasama untuk kebaikan) dengan Umno.

Dalam masa yang sama, PAS menyifatkan Amanah, iaitu parti yang ditubuhkan hasil perpecahannya, serta DAP, adalah musuh mereka. – 17 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-sertai-majlis-amanah-tak-hirau-bantahan-rasmi-pas-kata-rafizi#sthash.PPA7slu2.dpuf