Thursday, January 7, 2016

Propaganda anti DAP pengaruhi Melayu luar bandar, kata Guan Eng

OLEH LOOI SUE-CHERN
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sentimen anti DAP ketara di kawasan luar bandar di mana ia tidak mempunyai kerusi dan masyarakatnya bergantung kepada media arus perdana bagi mendapatkan berita dan maklumat.Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Januari, 2016.

"Propaganda hitam" terhadap DAP berjaya menjadikan orang Melayu membenci parti pembangkang itu yang sebahagian besar ahlinya terdiri daripada kaum Cina, kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng hari ini.

Kenyataan beliau seiring dengan hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pada November yang mendapati peningkatan kemarahan Melayu terhadap DAP, yang dilihat sebagai anti Melayu, anti Islam dan parti bersifat perkauman.

Lim berkata, sentimen itu ketara di kawasan luar bandar di mana DAP tidak mempunyai kerusi dan masyarakatnya bergantung kepada media arus perdana bagi mendapatkan berita dan maklumat.

"Itulah kejayaan propaganda hitam... Masalahnya ialah, ketidakmampuan mendekati mereka untuk menjelaskan kepada rakyat di sana. Kita tidak aktif di negeri seperti Terengganu dan Kelantan.

"Jika pilihan raya diadakan sekarang, kita akan menghadapi masalah, tetapi kita ada 2 tahun lagi untuk berusaha menjelaskannya," katanya kepada pemberita hari ini.

Lim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian IDE itu, yang dijalankan daripada 13 hingga 15 November tahun lepas dengan 1,716 responden Melayu di seluruh Selangor.

Ia mendapati hampir dua pertiga daripada responden (72%) bersetuju DAP adalah sebuah parti perkauman yang hanya menjaga kepentingan masyarakat Cina. Hanya 12% tidak bersetuju, manakala 16% berkata mereka tidak pasti.

Lebih separuh (64%) bersetuju dengan kenyataan "DAP adalah sebuah parti anti Melayu dan anti Islam". Kira-kira 18% tidak bersetuju manakala 19% tidak pasti. – 7 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/propaganda-anti-dap-pengaruhi-melayu-luar-bandar-kata-guan-eng#sthash.0rzsrTSu.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-