Wednesday, January 6, 2016

Selepas taklimat khas, PAS mahu jelajah seluruh negara

PAS akan membuat siri jelajah bagi memberi penerangan kepada ahlinya di seluruh negara selepas program taklimat khas oleh Presiden parti Islam itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Sabtu ini.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan (Foto) berkata, ia bertujuan bagi memberi penerangan tentang isu-isu semasa oleh presiden parti kepada akar umbi parti tersebut.
"Lajnah Penerangan PAS telah diamanahkan untuk mengendalikan majlis taklimat khas presiden PAS dan ia diadakan sebagai aktiviti rutin PAS selain konvensyen, muktamar, mesyuarat bulanan dan sebagainya untuk memberi pengarahan semasa dan pencerahan kepada pimpinan serta ahlinya terhadap sesuatu isu besar yang dihadapi.

"Insha Allah, Lajnah Penerangan akan turun ke seluruh negara sekali lagi untuk turun beri pengarahan, amanah dan pencerahan isu oleh presiden ke negeri-negeri selepas selesai taklimat khas presiden peringkat pusat," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kepada semua ahli PAS supaya jangan mudah terpedaya dengan persepsi yang disebarkan pihak tertentu tetapi sebaliknya merujuk kepada sumber parti dengan menghadiri taklimat yang akan diadakan.

Sebelum ini media melaporkan PAS akan mengadakan satu taklimat khas bersama Hadi.

Bagaimanapun, lokasi dan waktu taklimat itu tidak didedahkan.

PAS pula telah menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai BN tetapi akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan agama Islam.

Keputusan itu dibuat oleh Majlis Syura Ulamak Pas dalam mesyuarat Sabtu lalu di tengah-tengah kontroversi kerjasama antara Umno dan PAS.

"Majlis Syura Ulamak juga menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional," kata Setiausahanya, Dr Nik Mohd Zawawi Salleh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-