Sunday, January 3, 2016

Selesai segera isu kos sara hidup rakyat

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
3 JANUARI 2016


Mohd Shafie Apdal - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menggesa agar isu melibatkan kos sara hidup rakyat di negara ini dipandang serius dan diselesaikan segera.

Beliau turut menyarankan agar barisan pemimpin di negara ini menangani segala isu melibatkan rakyat dengan matang.

“Sebagai pemimpin, peringkat kampung mahupun barisan pentadbiran, kita perlu tangani segala permasalahan ini dengan matang.

“Apa yang penting, isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, pelbagai perbelanjaan yang semakin meningkat, perlu diambil perhatian serius dan penyelesaian segera perlu dilaksanakan,” katanya melalui kemas kini status di Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau menjangkakan tahun 2016 bakal dilalui begitu mencabar dengan pelbagai isu dan masalah yang perlu diperjelaskan, diselesaikan serta ditangani melibatkan rakyat di seluruh negara.

Beliau turut menzahirkan komitmen kepada rakyat bahawa beliau akan memikul amanah yang diberi kepadanya sebaik mungkin.

“Terima kasih kepada rakan-rakan terutama Facebook yang tidak henti dan tidak putus menyokong saya dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepada saya dan keluarga semua.

Alhamdulillah, di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2016 kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira di mana anda berada.

“Sebagai Ahli Parlimen dan juga Naib Presiden Umno, saya akan pikul amanah dan tanggungjawab yang dipilih oleh rakyat dan ahli Umno ini sebaik mungkin. Saya juga berdoa ke hadrat ALLAH SWT agar kita semua diberikan kesihatan yang baik dan negara Malaysia yang kita cintai ini sentiasa dilindungi dan mendapat rahmat dari ALLAH SWT. Insya-ALLAH,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-