Thursday, January 21, 2016

Tedung selar berkepala merah ditangkap

Ular tedung selar sepanjang empat meter dengan berat 27 kilogram ditangkap selepas memasuki kilang tisu di Benus, Bentong, semalam.

BENTONG 20 Jan. – Seekor ular tedung selar seberat 27 kilogram yang memasuki sebuah kilang membuat tisu di Benus, di sini berjaya ditangkap anggota bomba hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Zainal Abidin Nong Chik berkata, tiga anggotanya bergegas ke kilang berkenaan selepas menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan reptilia berbisa sepanjang empat meter itu.

“Apabila tiba di bahagian pejabat penyelia kilang itu pada pukul 3.35 pagi, ular berkenaan didapati berada di bawah meja sebelum usaha menangkapnya dilakukan.

“Alhamdulillah, kita dapat menangkap ular ini dalam masa kira-kira 45 minit tanpa sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zainal Abidin, ular tedung selar yang kepalanya berwarna merah dan sebesar lengan lelaki dewasa itu dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Bentong sebelum dihantar ke Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh untuk tindakan lanjut.

Katanya, pada masa ini ular berkenaan berada di bawah jagaan Unit Khas Kawalan Ular Temerloh yang mempunyai kepakaran menjaga dan mengawal reptilia tersebut.

Beliau berharap orang ramai segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terjumpa haiwan berbisa seperti ular di dalam premis atau rumah masing-masing.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/tedung-selar-berkepala-merah-ditangkap-1.181700#sthash.CQnZQgOl.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-