Tuesday, January 19, 2016

Tiada ikatan rasmi dengan PAS, PKR bebas hadiri program PAN - Johari

 AIDCNEWS


AIDCNews- 19/1/16 –Ketua whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata tiada ikatan rasmi di antara PKR dan PAS, maka pimpinan Parti Keadilan bebas untuk menghadiri program anjuran Parti Amanah Negara (PAN).

Sedangkan katanya ia berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) gabungan tiga parti, DAP, PKR dan PAN yang mempunyai ikatan rasmi yang perlu tolong menolong di antara satu sama lain.

“Kita ada hubungan yang tidak rasmi dan saling menghormati. Namun, ia tidak mengikat kita. Ia berbeza dengan Pakatan Harapan sebab kita saling terikat.

“Tidak terdapat sebarang ‘paper work’ (kertas kerja) di antara PAS-PKR. Sebab itu kita menghormati apa saja tindakan dan kenyataan yang dibuat PAS.

“Dan begitu juga, jika kita ambil tindakan untuk menghadiri program mana-mana parti pun. Tiada yang mengikat kita,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang tidak menghiraukan bantahan PAS terhadap penyertaannya dalam majlis ceramah bersama PAN Kelantan pada Sabtu.

“Saling hormat-menghormati keputusan parti di dalam Pakatan Rakyat masih wujud. Apabila PAS berjumpa Umno, kita pun tidak buat komen kerana itu hak mereka.

“Malah tidak wujud perjanjian yang kukuh tidak boleh buat ini dan itu,” kata Johari lagi.

ketika ditanya sama ada PAS dan PKR perlu mewujudkan perjanjian supaya isu sebegini tidak timbul lagi, ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, partinya sentiasa bersedia untuk berbincang.

“Kerana itulah, ketika kita mahu wujudkan Pakatan Harapan, kita ajak secara rasmi PAS supaya bincang.

“Mungkin mereka tidak bersetuju beberapa perkara, namun masih bersetuju dalam banyak perkara. Lebih elok duduk bersama untuk berbincang.

“Namun mereka tidak mahu datang dengan mengatakan tidak bersedia. Selagi tidak bersedia, maka hubungan kita masih tidak terikat. Jika bersedia, kita ikatlah,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi(foto) menafikan PAS mahu mencampuri urusan antara PKR dengan PAN dalam Pakatan Harapan.

Beliau berkata surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli baru-baru ini hanya untuk menzahirkan rasa dukacita kerana PKR menyertai program ceramah anjuran PAN Kelantan.

“Kami rasa tak campur apa-apa. Kami sebut perasaan (dukacita) dan apa yang menjadi kebimbangan kami, terutama perasaan anggota parti di peringkat akar umbi apabila mereka melihat bagaimana PKR yang ada tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PAS, sama-sama membentuk kerajaan di Kelantan, tiba-tiba berada atas pentas Amanah (PAN) yang nak jatuhkan kerajaan (PAS) Kelantan.

“Kami tak boleh halang, cuma kami rasa dukacita bila (PKR) buat majlis bersama dengan Amanah (PAN) di Kelantan,” katanya.

Che Abdullah berkata PAS Kelantan sentiasa memberitahu perkembangan terkini kepada PAS Pusat berkaitan dengan hubungan PKR dan PAN di negeri itu.


Hadir Ceramah PAN, Rafizi Akan Bincang Dengan PAS Di Belakang Tabir

Setiausaha Agung PKR Langgar Arahan PAS

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-