Saturday, January 9, 2016

Tiada lagi 'setuju untuk tidak bersetuju', Pakatan Harapan tubuh badan perantara

OLEH MD IZWAN
Published: 9 January 2016 10:29 AM

Pakatan Harapan pada Persidangan Pakatan Harapan di Shah Alam, Selangor pagi ini memutuskan untuk ketiga-tiga parti perlu berpegang teguh kepada konsensus yang dipersetujui. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 Januari, 2016.

Prinsip setuju untuk tidak bersetuju bukan lagi menjadi asas kepada gabungan pembangkang baharu Pakatan Harapan, sebaliknya ketiga-tiga parti perlu berpegang teguh kepada konsensus yang dipersetujui.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, salah seorang sekretariat dalam membentuk Perjanjian Pakatan Harapan berkata, konsensus bersama menjadi asas kepada gabungan baharu itu.

"Fasal pertama, segala keputusan bersama mestilah berasaskan prinsip konsensus iaitu setiap parti di dalam Pakatan Harapan perlulah bersetuju sebulat suara dengan keputusan itu.

"Agree to disagree (setuju untuk tidak bersetuju) bukan lagi prinsip Pakatan Harapan," kata Rafizi semasa Persidangan Pertama yang diadakan di Shah Alam, Selangor pagi ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, keputusan konsensus itu akan mengikat PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan.

"Jika keputusan bersama secara konsensus sudah dicapai, keputusan itu dikira mengikat ketiga-tiga parti," katanya.

Gabungan pembangkang baharu kali ini mengambil iktibar daripada kesilapan Pakatan Rakyat (PR) semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di mana 3 parti, PKR, DAP dan PAS bergelut antara satu sama lain.

Selepas PRU13, pertikaian timbul khususnya dalam isu undang-undang Islam hukuman hudud sehingga menjadi punca kepada kehancuran PR.

Dalam perjanjian Pakatan Harapan, badan pembuat keputusan tertinggi adalah Majlis Presiden yang merupakan forum yang dianggotai pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti.

Menjelaskan mengenai peranan Badan Perantara, Rafizi berkata ia akan berfungsi sebagai pendamai apabila timbul pertikaian di dalam Pakatan Harapan.

"Fungsi utamanya, ia akan mendamaikan pihak yang mempunyai pertikaian di dalam Pakatan Harapan dengan mencari penyelesaian yang paling adil kepada pihak dan parti terbabit setelah aduan mengikut Fasal 3.2 dirujuk kepadanya," kata Rafizi.

Fasal 3.2 memberikan hak kepada setiap ahli parti membuat aduan terhadap ahli parti lain di dalam Pakatan Harapan sekiranya terdapat ahli parti lain melanggar dasar pendirian parti.

"Ia menghuraikan prinsip tolak ansur di antara ketiga-tiga parti dan prinsip tiada campur tangan dalam urusan parti masing-masing yang diguna pakai untuk menetapkan kaedah menyelesaikan sebarang pertikaian yang timbul di dalam Pakatan Harapan," katanya. – 9 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-prinsip-setuju-untuk-tidak-bersetuju-pakatan-harapan-tubuh-badan-pera#sthash.7UmbcOPd.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-